JKR lakukan penyuraian trafik di Gua Musang lancarkan pergerakan musim perayaan

JKR lakukan penyuraian trafik di Gua Musang lancarkan pergerakan musim perayaan

PELAN  penyuraian trafik sempena Hari Raya Aidilfitri bermula esok di laluan alternatif jalan Gua Musang-Kuala Lipis di Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melaksanakan penyuraian trafik di laluan alternatif jalan Gua Musang-Kuala Lipis bermula esok sehingga 2 Mei ini bagi melancarkan perjalanan susulan pertambahan kenderaan sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ir. Ahmad Redza Ghulam Rasool berkata, penyuraian trafik dengan menjadikan sebahagian daripada laluan tersebut sebagai satu hala sekali gus memberi kelegaan kepada anak Kelantan dari Lembah Klang untuk pulang beraya. 

“Bermula malam ini kita akan memasang penghadang dan termasuk tanda arah supaya selepas ini akan jadi jalan sehala untuk mengurangkan konflik kenderaan yang bergerak dari arah bertentangan.

“Selain mengurangkan lintasan kenderaan di persimpangan yang boleh menyebabkan konflik dan kemalangan, ini adalah usaha JKR untuk mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan lagi keselamatan pihak pengguna walaupun kita tahu memang ada berlaku  kesesakan,” katanya kepada pemberita di Tapak Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) FT2747 di sini hari ini.

AHMAD Redza Ghulam Rasool (tiga kiri) melawat tapak projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) FT2747 di Gua Musang, Kelantan hari ini.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH

Ahmad Redza memberitahu, jalan alternatif terbabit juga sudah melalui proses pelebaran jalan bagi membolehkan pengguna melaluinya dan memenuhi standard jalan.

Katanya, memandangkan pembinaan Projek LTU subpakej 3BC dan 3D yang melalui laluan sediada FT2747, satu jalan alternatif di FT08 (jalan lama) telah disediakan lebih awal bagi tujuan melencongkan kenderaan.

“Sebelum ini lebar jalan itu bagi laluan sehala adalah kira-kira 3 meter. Pada penghujung tahun 2021 kita melebarkan jalan berkenaan menjadikan sehala 3.5 meter dan dua hala menjadi tujuh meter. Ianya sama dengan standard jalan yang pengguna lalu contohnya dari arah Lembah Klang. 

“Jadi kalau pengguna kenderaan itu datang dari Lembah Klang melalui jalan dua hala di laluan alternatif ini terdapat beberapa lencongan dan jarak jauh sedikit iaitu enam kilometer berbanding jalan yang ditutup hanya empat kilometer,” ujarnya.

Ahmad Redza berkata, bagi pengguna yang akan pulang ke Kota Bharu, JKR mencadangkan laluan alternatif lain dengan melalui Lebuhraya Projek Utara Selatan (PLUS) – Kuala Kangsar dan melalui FT004 – Jeli – Tanah Merah – Pasir Mas dan Kota Bharu dengan jarak 581 kilometer.

Katanya, alternatif kedua pula pengguna jalan raya juga boleh menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) melalui Terengganu untuk pulang beraya ke Kota Bharu dengan jarak 549 kilometer. 

“Selain itu, pengguna jalan raya juga boleh melalui Simpang Pulai – Jeli – Gua Musang – Kuala Krai – Kota Bharu dengan jarak 530 kilometer. JKR juga sentiasa membuat penyelarasan dengan pihak-pihak berkepentingan bagi meminimumkan impak terhadap pengguna jalan raya dan penduduk setempat semasa pelaksanaan projek. 

“Oleh itu, pengguna jalan raya juga disarankan untuk merancang perjalanan sebaiknya terutama semasa musim perayaan dan berharap pengguna jalan raya dapat bersabar dan mengikut peraturan memandu dengan cermat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya