SEREMBAN: Setiap pemimpin dalam pembentukan kerjasama dua gabungan parti iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu tidak memberikan kenyataan yang dilihat boleh menjejaskan keharmonian dan memberikan kesan negatif sesama mereka.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau juga telah meminta kesemua pemimpin BN supaya tidak mencampuri urusan parti lain sebaliknya memberi tumpuan bagi memperkasakan parti sendiri.
“Kalau kita mahu menjaga keharmonian, kita tidak bercakap sebegitu, jadi elok kurangkan buat kenyataan yang boleh memberikan kesan negatif kepada rakan-rakan kita.
“Saya telah minta di peringkat BN, kita jaga BN sahaja, perkasakan parti, kalau setiap parti perkasakan parti masing-masing, kalau kita kumpulkan kekuatan ia akan jadi kekuatan yang besar.
“Jangan heboh pasal orang pasal parti lain, tidak guna, jangan jaga sangat tepi kain orang, kain kita sendiri banyak lumpur yang perlu dibasuh,” katanya.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri anjurannya di Kampung Tanjung, Rantau di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO mengulas mengenai kenyataan Pengarah Komunikasi, Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad supaya Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Khalid dilaporkan berkata, pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej yang sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan juga seluruh dunia berhubung sikap serta pendirian terhadap rasuah dan salah guna kuasa.
Mohamad dalam pada itu menambah, kenyataan sebegitu tidak sepatutnya keluar namun percaya ia tidak menjejaskan hubungan di antara BN dan PH ketika ini.
“Dalam setiap satu parti memang ada loose cannon (individu tidak terkawal), kita tak ambil kira loose cannon punya kenyataan, itu bukan parti dia punya kenyataan, jadi tidak usah pulak untuk terlampau emosi,” katanya lagi.-UTUSAN.