MUAR: Keluarga empat beradik yang meninggal dunia dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor, di sini menafikan dakwaan mereka menerima wang sumbangan sebanyak RM100,000 daripada pendakwah terkenal, Ebit Liew.
Bapa kanak-kanak malang tersebut, Tien Ko Htut, 31, berkata, dia dan isterinya, Nabila Sedu, 30, sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya dipanggil untuk memberi keterangan mengenai isu tersebut.
“Kami tidak menerima sejumlah wang tersebut seperti yang diidakwa pihak tertentu. Kalau ada pihak kata mereka ada bukti, tunjukkan bukti. Kalau hendak cakap kosong (terima duit sebanyak itu), semua orang boleh cakap.
“Kalau Ebit Liew bagi duit sejumlah itu pada kami, sila buktikan. Kami tidak pernah terima duit sebanyak itu.
“Kena tunjuk bukti dalam akaun bank saya. Sila periksa akaun bank saya, tiada masalah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dia mengakui sedih apabila memikirkan kenapa ada pihak yang tidak mengenalinya sanggup menabur fitnah seperti itu.
Pada 30 Mac lalu, Ebit Liew menerusi perkongsian dalam akaun media sosialnya ketika menziarahi keluarga mangsa tersebut mengakui sebak melihat tangisan ibu bapa mangsa sepanjang pengurusan jenazah.
Jenazah empat beradik tersebut, Puteri Aisyah, 8, Mohd. Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri. – UTUSAN