Ibu, anak jual nasi bungkus bergerak kepada geng tidak berpuasa di cekup

Ibu, anak jual nasi bungkus bergerak kepada geng tidak berpuasa di cekup

SEBAHAGIAN nasi bungkus yang dirampas selepas ibu dan anak yang menjual makanan kepada geng plastik hitam dalam serbuan Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Kelantan-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Taktik seorang ibu dan anak menjual nasi bungkus secara bergerak dengan menaiki sebuah kereta kepada geng ponteng puasa terbongkar selepas ditahan dalam serbuan Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Wanita berusia 50-an dan anak lelakinya lingkungan 20-an itu diberkas anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) kira-kira pukul 9 pagi tadi semasa sedang memandu kereta jenis Perodua Myvi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaheaik, Mohd. Fadzuli Mohd. Zain berkata, kejayaan itu hasil intipan selama seminggu yang dilakukan pihaknya selepas apabila menerima maklumat daripada orang awam.

Menurutnya, siasatan mendapati, dua beranak itu merupakan peniaga nasi berlauk yang terkenal di bandar ini.

“Kedua-dua suspek turut dipercayai menjual nasi kepada individu yang ponteng puasa sejak tahun lalu dan meneruskan kegiatan tersebut pada hari pertama bulan Ramadan tahun ini.

“Dua beranak itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 kerana tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjual makanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Fadzuli memberitahu, semasa serbuan dijalankan pihaknya turut menahan dua lelaki yang merupakan pemandu lori berusia dalam lingkungan 40-an selepas membeli nasi bungkus tersebut.

Katanya, anggota penguat kuasa Jaheaik dan MPKB-BRI turut merampas nasi bungkus berlauk ayam dan ikan yang berada di dalam kereta tersebut.

“Dua pelanggan tersebut disiasat mengikut Seksyen 54 enakmen sama kerana bersubahat tidak menghormati Ramadan.

“Kesemua yang ditahan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21 enakmen sama kerana melakukan perbuatan tidak sopan bertentangan hukum syarak di tempat awam yang memperuntukan hukuman denda RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-dua jika disabitkan kesalahan,” ujarnya.

Mohd. Fadzuli berkata, eempat-empat yang ditahan dibebaskan dengan bon jamin dan mereka diminta untuk hadir ke Mahkamah Syariah dalam tempoh terdekat.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya