KOTA BHARU : Seramai 80 bakal jemaah umrah kerugian RM600,000 hasrat mereka untuk ke tanah suci Mekah tidak kesampaian pada Disember tahun lalu selepas mendakwa ditipu oleh sebuah agensi pelancongan.
Dakwa mereka, kerugian tersebut melibatkan bayaran penuh yang sudah dijelaskan kepada agensi pelancongan tersebut sejak Oktober tahun lalu, namun sehingga kini wang tersebut tidak dikembali kepada bakal jemaah.
Wakil jemaah, Azra Zahari, 43 mendakwa mereka semua sepatutnya berlepas ke Mekah pada 14 Disember tahun lalu namun terpaksa ditunda ke Februari atas alasan penganjuran Piala Dunia Qatar 2022.
“Syarikat itu memaklumkan semua tempahan hotel penuh disebabkan penganjuran Piala Dunia. Selepas Februari, kami dimaklumkan perjalanan umrah tidak dapat diteruskan atas alasan jarak hotel penginapan jauh.
“Mereka maklumkan pakej RM7,600 bagi setiap jemaah tidak membolehkan mereka menginap di hotel berdekatan tanah suci dan bayaran tambahan diperlukan untuk tujuan itu,” dakwanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu, di sini hari ini.
Azra memberitahu, pada Februari lalu dia sudah memaklumkan kepada agensi pelancongan itu membatalkan tempahan dan dimaklumkan bayaran akan dikembalikan seminggu kemudian namun sehingga hari ini tiada sebarang khabar berita.
“Selepas tempoh seminggu itu kakak saya menghubungi semula syarikat itu dan dimaklumkan bayaran akan dibuat secara ansuran pada setiap 15 hari bulan bermula Februari sehingga April. Satu sen pun kami belum terima sehingga kini.
“Sejak Februari lalu ramai jemaah marah dan berhasrat membatalkan tempahan. Masalah ini mendatangkan tekanan kepada ramai jemaah termasuk ibu dan bapa saya yang kini malu untuk berdepan orang ramai termasuk kariah masjid kami,” ujarnya.
Seorang jemaah, Noraini Fauzi, 50 dari Machang menyatakan rasa terkilan dan mendakwa agensi pelancongan itu seolah-olah mengambil sikap lepas tangan.
“Bermula 14 Disember tahun lepas diikuti 20 Februari dan 2 Mac lalu, janji hanya tinggal janji. Alasannya adalah masalah di tanah suci sedangkan jemaah yang ikut pakej syarikat lain sudah ramai melaksanakan umrah.
“Saya rasa sudah cukup kami tunggu dan bertolak ansur. Sekarang kami mahu tuntut hak kami dan diharap dengan laporan polis ini nasib kami akan terbela. Kami sedih tidak dapat ke tanah suci dan bertambah sedih apabila mereka tidak mahu bertanggungjawab,” katanya.-UTUSAN