SHAH ALAM: Pelakon dan pengarah, Farid Kamil bertekad mahu mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mempertahankan rumah tangga dan berdamai dengan isterinya, Diana Danielle.
Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 42, berkata, dia sedang berusaha sebaik mungkin menyelamatkan keluarga dibinanya 11 tahun.

“Saya kini dalam proses memikirkan jalan terbaik bagi mencapai perdamaian antara kami. Perdamaian itu adalah membawa saya kembali kepada isteri dan mengembalikan dua anak kepada ibu bapa mereka,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Terdahulu, mahkamah menetapkan 30 Mei depan bagi sebutan semula inter-parte hadanah interim atau hak penjagaan sementara dua anak pasangan pelakon tersebut.
Kata Farid, beliau tidak pernah berhenti berusaha untuk berjumpa kedua-dua anaknya, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.
“Saya bersyukur kerana sudah bertemu Mohamad selama enam jam sebelum ini biarpun dia belum mengerti apa yang berlaku. Selain itu, saya akan berjumpa Aurora satu hari nanti,” kata pelakon Lagenda Budak Setan itu.
TERBAIK
Sementara itu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, berkata, dia hanya mengharapkan perkara yang terbaik.
“Ini bukan soal menang atau kalah,” katanya ringkas.
Terdahulu, prosiding kali pertama hadanah pasangan itu berlangsung di hadapan Hakim Syarie Zulfikri Yasoa.
Sebelum ini, Mahkamah Rendah Syariah Petaling menasihatkan pasangan itu untuk berdamai sewaktu sebutan permohonan cerai yang difailkan Diana.
Pelakon Imaginur itu memfailkan permohonan cerai pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Alasan yang diberikan pelakon itu dalam permohonannya ialah tiada persefahaman dan berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan.
Namun, Farid enggan melafazkan cerai dan Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan perintah hak penjagaan sementara anak kepada Diana yang membuat permohonan hadanah sebelum ini.
Pasangan itu sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz di Hotel Flamingo by the Lake dengan mas kahwin RM10,000 pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.- UTUSAN