SEREMBAN: Sebanyak empat tan kilogram makanan berjaya diselamatkan menerusi program MYSaveFood Ramadan 2023 yang dilaksanakan oleh pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan di enam buah lokasi bazar Ramadan di daerah ini.
Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Siti Yusnita Mohamad berkata, kesemua makanan itu juga telah berjaya diagihkan di 22 buah lokasi selepas dikumpulkan oleh 161 orang sukarelawan program berkenaan.
“Walaupun hanya tujuh buah bazar Ramadan yang terlibat namun respon dalam kalangan peniaga sangat positif. Saya berharap lebih banyak lagi bazar Ramadan yang akan menyertai program ini tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar Pelan Strategi Operasi Kutipan Sisa Pepejal Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 dan Majlis Berbuka Puasa SWM Environment Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Program MYSaveFood Ramadan dilaksanakan untuk tahun ketiga tahun ini yang bertujuan mengurangkan pembaziran makanan di bazar-bazar Ramadan.
Jelas Siti Yusnita, lokasi bazar Ramadan yang terlibat dalam program berkenaan tahun ini adalah di Putra Nilai, Lotus Bandar Baru Nilai, Taman Semarak, Nilai, bazar Ramadan Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi dan di Bandar Sri Sendayan.
“Lokasi agihan makanan tersebut pula antaranya di Masjid Pusat Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Flat Nilai Perdana, Surau Rumah Rakyat Nilai, asrama USIM, Flat Casuarina Paroi, Flat UDA Ampangan, Rumah Anakku Sayang Rayyan, Mahaad Tahfiz Sendayan dan Institut Perguruan Guru Kampus Bandar Enstek,” katanya.-UTUSAN.