Edar, miliki dadah, penganggur berdepan hukuman mati - Utusan Malaysia

Edar, miliki dadah, penganggur berdepan hukuman mati

ER TENG PING didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan memiliki dan mengedar dadah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup  apabila didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas empat pertuduhan mengedar dadah, bulan lalu.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Er Teng Ping, 39, selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Dalam dua pertuduhan pertama, Teng Ping didakwa mengedar pil erimin 5 dengan anggaran berat 36,900 gram dan pil ekstasi dengan anggaran berat 865 gram di dalam kereta yang diletakkan di lorong sebelah rumah di Jalan Indah 7/9, Taman Bukit Indah pada pukul 4.15 petang, 21 Mac lalu.

Bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa mengedar serbuk ekstasi dengan anggaran berat 5,204 gram dan kanabis seberat 489 gram di rumah di Jalan Indah 7/9, Taman Bukit Indah pada 3.20 petang, hari yang sama.

Bagi kesemua kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen  39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1980) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta minimum 15 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, tertuduh turut didakwa bagi dua lagi pertuduhan memiliki dadah berbahaya, iaitu ketamin masing-masing dengan berat 850 gram dan 53 gram.

Dia didakwa melakukan dua perbuatan itu di dalam kereta yang diletqkkan di lorong sebelah rumah dekat Jalan Indah 7/9, Taman Bukit Indah dan di rumah dekat jalan yang sama pada pukul 4.15 petang dan 3.20 petang, hari yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama, denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Tiada sebarang jaminan dibenarkan mahkamah terhadap tertuduh dan 15 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya