Dua warga Indonesia larikan diri dalam perjalanan ke Penjara Ledang - Utusan Malaysia

Dua warga Indonesia larikan diri dalam perjalanan ke Penjara Ledang

DUA lelaki Indonesia, Riki Rinaldi (kiri) dan Samirudin kini diburu selepas berjaya melarikan diri semasa dibawa ke Penjara Ledang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua suspek lelaki warganegara Indonesia melarikan diri semasa dalam perjalanan dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang, pagi tadi.

Dua suspek ialah Riki Rinaldi dan Samirudin, masing-masing berusia 40 dan 36 tahun.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, dua lelaki tersebut sepatutnya menjalani hukuman penjara selama enam bulan di Penjara Ledang.

Menurutnya, kira-kira pukul 8 pagi tadi, kedua-dua suspek bersama dua lagi suspek warganegara Indonesia yang lain telah dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi bagi pertuduhan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua suspek ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana dipercayai tidak mempunyai pas atau dokumen yang sah memasuki negara ini.

“Pada pukul 11.20 pagi, seramai tiga anggota Maritim Malaysia telah ditugaskan membawa empat suspek warganegara Indonesia dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang setelah selesai pertuduhan. 

“Semasa dalam perjalanan, dua suspek telah berjaya membuka gari berantai dan membuka pintu belakang van kemudian melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit terbiar berhampiran di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beng Yeow berkata, Op Tutup telah dijalankan dan pasukan anggota risikan dan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai telah dimaklumkan berkenaan kejadian ini bagi mengesan serta menangkap kedua-dua suspek yang turut dibantu Unit Pengesan Anjing K9 dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Pihak polis daerah Kulai meminta kerjasama orang awam sekiranya mempunyai maklumat berkenaan suspek supaya menghubungi Bilik Gerakan Daerah Kulai menerusi talian 07-6637222,” katanya sambil memberitahu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya