PETALING JAYA: Lebih dua bilion umat Islam di seluruh dunia mengakhiri Ramadan setelah sebulan menunaikan ibadah puasa.
Di sesetengah negara, 1 Syawal disambut hari ini berdasarkan perkiraan Hisab Hakiki Wujudul Hilal yang berpandukan ketetapan Majlis Tarjih dan Tajdid.
Namun, ada negara yang menyambutnya esok berdasarkan Hisab (kiraan) dan Rukyah (anak bulan) iaitu pencerapan anak bulan pada 29 Ramadan.
Sebanyak 32 negara di Eropah, Asia Barat, Afrika, Asia dan Asia Tenggara mencerap anak bulan Syawal semalam manakala Pakistan dan Bangladesh melakukannya hari ini.
Dua negara tersebut berpuasa lewat sehari berbanding kebanyakan negara yang mengikut ketetapan Pusat Astronomi Dunia yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Di Malaysia, penentuan tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri dibuat berdasarkan penampakan anak bulan berada pada ketinggian tiga darjah dan 6.4 lengkungan yang dicerap pada 29 Ramadan.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr. Luqman Abdullah, di Malaysia penentuan tarikh hari raya adalah melalui kaedah gabungan antara ilmu Hisab (kiraan) dan Rukyah (anak bulan) atau lebih dikenali Imkanur-Rukyah iaitu menepati kadar tinggi hilal dan jarak lengkung antara hilal (sabit pertama selepas ijtimak) dan matahari.
“Penetapan kita adalah berdasarkan hukum syarak yangmana pada 29 Ramadan akan dibuat cerapan anak bulan untuk dilihat sama ada hari raya pada keesokan harinya ataupun kalau anak bulan tidak kelihatan maka raya pada lusa.
“Jadi itu yang kita amalkan selama berpuluh tahun dan sepatutnya tidak timbul isu tentang perkara ini, yang menjadi isu apabila ada pihak membawa pandangan negara lain yang berasaskan kepada pengiraan negara lain dan yang baru ini mengatakan bahawa raya pada hari Jumaat,” katanya baru-baru ini.
Di Indonesia, Pimpinan Pusat (PP) Muhammadiyah di Indonesia mengumumkan 1 Syawal 1444 Hijrah (H) di negara itu jatuh pada hari ini.
Seperti yang dilapor CNBC Indonesia, penetapan itu dibuat berdasarkan Hisab Hakiki Wujudul Hilal yang berpandukan Majlis Tarjih dan Tajdid.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua PP Muhammadiyah, Prof Dr. H. Syamsul Anwar yang disiarkan di Youtube Februari lalu.
Indonesia berdepan dengan dua tarikh sambutan 1 Syawal iaitu pada hari ini dan esok. – UTUSAN










