MELAKA: Bekas setiausaha politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 12 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM408,736 pada 2017 dan 2018.
Datuk Rosli Hasan, 52, adalah bekas setiausaha politik kepada Ketua Menteri Melaka Ke-10, Datuk Seri Idris Haron.
Antara pertuduhan rasuah ialah dalam bentuk pengubahsuaian rumah milik isterinya di Jalan Pokok Mangga 61, Taman Pokok Mangga bernilai RM323,736.
Bagaimanapun, Datuk Rosli Hasan, 52, mengaku tidak bersalah selepas semua 12 pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh ketika itu pegawai badan awam iaitu Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka didakwa membantu sebuah syarikat untuk dilantik sebagai kontraktor bagi projek bernilai RM5.28 juta.
Projek itu bagi mereka bentuk, membina dan menyiapkan sebuah masjid, dewan serbaguna, tiga lot kedai dan rumah sampah secara reka dan bina di atas sebahagian tanah di Mukim Bachang.
Sebagai balasan, tertuduh menerima suapan dalam bentuk khidmat pengubahsuaian rumah milik isterinya bernilai RM323,736 antara Mei 2017 hingga Februari 2018.
Pertuduhan kedua sehingga ke 12, tertuduh didakwa menerima suapan melalui bayaran kad kredit berjumlah RM85,000 antara Mei 2017 hingga 19 Oktober 2017 di CIMB Bank Cawangan Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah.
Tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 16 Mei depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










