JOHOR BAHRU: Pemandu lori didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan menyeleweng minyak diesel 1,450 liter pada Julai lalu.
Tertuduh, Moo Yit Lim, 32, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Yit Lim didapati memiliki barang kawalan, iaitu minyak diesel sejumlah 1,450 liter dalam tong plastik putih di sebuah lori Daihatsu di Jalan Setia 11/3, Taman Setia Indah pada pukul 8 malam, 27 Julai 2022.
Bagi perbuatan itu, lelaki terbabit telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta yang sama.
Mengikut fakta kes, lelaki itu ditahan dalam sau serbuan polis dan pemeriksaan yang dijalankan telah menemukan dua buah tong plastik yang mengandungi cecair disyaki diesel beranggaran 2,000 liter yang berada di bahagian belakang lori tersebut.
Hasil pemeriksaan menemukan kunci dan resit pembelian minyak diesel dari pelbagai stesen minyak sebanyak 22 keping yang berjumlah RM4,300 dan tertuduh gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit untuk menyimpan dan menguruskan minyak diesel itu.
Tertuduh menyewa lori tersebut daripada sebuah syarikat selama 11 hari dengan bayaran RM150 sehari dan telah melakukan pengubahsuaian pada kenderaan tersebut.
Pemeriksaan yang dilakukan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati terdapat sambungan paip dari tangki utama kenderaan ke tangki bahan api tambahan pada kenderaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim turut memerintahkan, lori Daihatsu dan baki jualan diesel bernilai RM3,480 di dalam lori terbabit dilucutkan hak kepada kerajaan. – UTUSAN