Bekas penyelia Rela didenda RM5,000, buat tuntutan palsu - Utusan Malaysia

Bekas penyelia Rela didenda RM5,000, buat tuntutan palsu

HASNAH Yusof dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas tuduhan membuat tuntutan palsu atas nama individu lain, empat tahun lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bekas penyelia Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 di Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah membuat tuntutan palsu atas nama individu lain, empat tahun lalu.

Tertuduh, Hasnah Yusof, 68, yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed.

Berdasarkan pertuduhan, Hasnah dengan niat telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Borang Tuntutan Elaun Penugasan Keselamatan Rela, Jabatan Kastam bagi bulan Januari hingga Mac 2019 yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Kesalahan itu dilakukannya di Pejabat Rela Negeri Sembilan, Wisma Persekutuan, di sini. Sehubungan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Berdasarkan fakta kes, antara skop tugasan tertuduh yang merupakan seorang Penyelia Anggota Rela di Jabatan Kastam Seremban 2, adalah menyediakan jadual bertugas dan menyelia anggota Rela yang bertugas di Jabatan Kastam berkenaan.

Sejak 2018, Rela telah membuat penugasan keselamatan bangunan di Pejabat Kastam Negeri Sembilan dan setiap anggota Rela yang bertugas boleh membuat tuntutan elaun penugasan. Antara syarat-syarat permohonan adalah pemohon mestilah bertugas pada waktu yang dinyatakan dalam tuntutan itu.

Pada Januari hingga Mac 2019, tertuduh sendiri telah menyediakan dan mengemukakan suatu Tuntutan Elaun Penugasan Keselamatan Rela Jabatan Kastam atas nama seorang lelaki yang dipercayai mempunyai butiran matan palsu ke Pejabat Rela Daerah Seremban. Tuntutan yang dihantar dan diluluskan adalah berjumlah RM2,088

Hasil siasatan mendapati, majikan lelaki berkenaan mengesahkan lelaki itu sedang bekerja pada bulan Januari 2019 sehingga Mac 2019 pada masa tuntutan itu dibuat dan tertuduh mengetahui pada waktu tuntutan itu dibuat, lelaki itu sebenarnya tidak bertugas sebagai penugasan keselamatan Rela. Sejumlah wang sebanyak RM2,088 hasil tuntutan tersebut juga turut disita.

Terdahulu, Hasnah dalam rayuannya memohon hukuman minimum memandangkan dia tidak lagi bekerja selain kini merupakan seorang ibu tunggal.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Mohammad Azriff Firdaus Mohammad Ali memohon agar mahkamah mengambil kira kepentingan awam berbanding tertuduh.

“Hukuman adalah bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam bagi mengelak (kejadian) berulang kali. Selain itu, mahkamah perlu mengambil kira kekerapan kesalahan melibatkan dana awam,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya