PETALING JAYA: Pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), dengan membenarkan mahasiswa serta pensyarah bebas berpolitik perlu mempunyai had.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Canselor Institusi Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff yakin pindaan terhadap akta tersebut adalah disesuaikan dengan ekosistem politik negara.
“Saya percaya pindaan tersebut adalah selaras dengan gagasan dan apa yang kita sebagai pihak universiti dapat sumbangkan kepada negara,” katanya.
Jelasnya, beliau menyokong penuh kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi dan pihak universiti akan bekerjasama dalam membina garisan panduan tatakelola mahasiswa berpolitik, supaya dapat disesuaikan dengan peraturan institusi.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, setakat ini pihaknya tidak dapat membuat sembarang kenyataan supaya tidak bercanggah dengan objektif pindaan akta itu,
Katanya, perkara itu akan dilihat dahulu apa yang akan dirancang pada sesi dialog awam 6 April ini berhubung AUKU.
Dalam pada itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM), Afirul Idris berkata, mahasiswa perlu mengikuti garis panduan yang ditetapkan.
“Peraturan yang ada ini adalah garis panduan mahasiswa untuk politik supaya tidak menimbulkan kekecohan,” katanya ketika dihubungi.
Presiden MPP Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Badrul Alif berpendapat, mahasiswa yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam berpolitik tidak menjadi satu masalah besar.
“Universiti memberi ruang kepada pelajar untuk berpolitik dalam masa yang sama tidak mengganggu ketenteraman dan keharmonian universiti.
“Pelajar akan dikenakan tindakan sekiranya menimbulkan kekecohan ketika berpolitik di dalam kampus,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN










