Ampun Najib: UMNO tak perlu pandangan parti lain - Utusan Malaysia

Ampun Najib: UMNO tak perlu pandangan parti lain

AHMAD ZAHID HAMIDI (kiri) menerima cenderamata daripada Ahmad pada Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Pontian dengan kerjasama Badan Perhubungan UMNO Johor di Kompleks Muafakat Benut, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: UMNO tidak mengalu-alukan komen, khususnya daripada parti-parti yang bersahabat dengannya mengenai pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana perkara itu adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Justeru, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti-parti politik terutamanya yang bersahabat dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya memberikan komen tentang perkara itu.

“Kita serahkan kuasa mutlak ini kepada Yang di-Pertuan Agong. Perkara ini merupakan budi bicara baginda. 

“Saya tidak mengalukan-alukan mana-mana pendapat daripada sebarang pertubuhan, apatah lagi parti-parti politik yang bersahabat dengan kita untuk memberikan komen yang tidak sepatutnya,” katanya diminta mengulas kenyataan Parti Amanah Negara (Amanah) yang merayu kepada Yang di-Pertuan Agong supaya permohonan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri itu ditolak.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berpandangan, pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej yang sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan seluruh dunia tentang sikap serta pendirian terhadap rasuah dan salah guna kuasa, sekali gus akan merosakkan imej dasar Membangun Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Pontian dengan kerjasama Badan Perhubungan UMNO Johor di Kompleks Muafakat Benut, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi: Pengerusi  Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian dan Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad serta Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Pada 9 April lalu, Ahmad Zahid mengesahkan parti itu sedang berusaha mencari tarikh bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan rayuan pengampunan terhadap Najib.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memohon ihsan baginda untuk mempertimbangkan pengampunan penuh terhadap bekas presiden parti itu sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.