4 Geng Sara didakwa lakukan rompakan bersenjata, edar dadah - Utusan Malaysia

4 Geng Sara didakwa lakukan rompakan bersenjata, edar dadah

DUA daripada empat ahli Geng Sara yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru atas 11 pertuduhan termasuk melakukan rompakan berkumpulan dan mengedar dadah pada Februari dan Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua penjenayah Geng Sara didakwa  di Mahkamah Sesyen dan Majistret, di sini hari ini atas 11 pertuduhan termasuk melakukan rompakan bersenjata berkumpulan, memiliki senjata api tiruan serta mendatangkan kecederaan selain memiliki dadah antara Februari hingga Mac lalu.

Walau bagaimanapun, tertuduh, A. Saravanan, 39, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail, Hakim Fatimah Zahari dan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim.

Dalam dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Saravanan didakwa secara bersama-sama S. Vivekanandan, 36, melakukan rompakan bersenjata menggunakan pisau ke atas seorang wanita berusia 24 tahun dengan melarikan pasport mangsa, wang tunai dan melarikan peti besi mengandungi RM4,589 milik kedai runcit serta empat buah telefon bimbit jenama Vivo.

Mereka melakukan rompakan itu di sebuah kedai runcit di Jalan Perdagangan 3, Taman Universiti, Skudai pada pukul 3 petang, 10 Mac lalu.

Dalam satu lagi pertuduhan, mereka berdua bersama-sama seorang lagi rakan, R. Ganapathy, 37, melakukan rompakan di sebuah apartmen di Jalan Persiaran Senibong, Masai pada pukul 2 pagi, 11 Mac lalu.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret pula, Saravanan turut mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan termasuk di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 (senjata api tiruan), Seksyen  411 Kanun Keseksaan (curi kenderaan), Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah rumah), Seksyen 324 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan) selain Seksyen 39(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (memiliki dadah).

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh bersama-sama rakannya itu selain seorang lagi tertuduh di sebuah rumah di Jalan Bukit Kempas 1/17, Taman Bukit Kempas, stor syarikat kurier di Kawasan Perindustrian Maju Jaya, Kempas selain di Pangsapuri Lily Jasmin, Jalan Titiwangsa 14/2, Taman Tampoi Indah, di sini.

Mereka secara bersama melakukan jenayah itu antara pukul 5.20 pagi 24 Februari, 8.20 malam 25 Februari dan 2 pagi serta 2.30 petang 11 Mac lalu.

Bagi kesemua pertuduhan itu Saravanan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM59,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Raveena, Noor Idayu Salim dan Muhammad Arif Marzuki.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.