JOHOR BAHRU: Polis negeri ini menahan seramai 39 lelaki termasuk tiga warganegara asing kerana melanggar syarat lesen dan permit penjualan mercun dan bunga api.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek berusia antara 17 hingga 55 tahun itu ditahan dalam operasi di bazar dan premis jualan bermula 28 Mac hingga semalam.
“Dalam operasi tersebut, sebanyak 712 mercun dan bunga api pelbagai jenis telah dirampas, dengan seramai 39 suspek ditahan termasuk tiga warganegara asing yang bekerja di premis berkenaan.
“Dalam pada itu, sebanyak 33 kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kamarul Zaman memberitahu, sebanyak 18 kertas siasatan telah dituduh di mahkamah manakala selebihnya masih dalam proses untuk dilengkapkan bagi tujuan pendakwaan.
“Polis Johor terus komited melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap permit penjualan mercun dan bunga api yang telah diluluskan.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang seperti tiada permit, lesen memiliki serta menjual dan membeli mercun atau bunga api selain dibenarkan,” tegasnya. – UTUSAN