15 murid, pelajar cedera, van sekolah terbalik diseret lori balak

15 murid, pelajar cedera, van sekolah terbalik diseret lori balak

KEADAAN van sekolah yang tebalik semasa kemalangan di simpang tiga hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di Bandar Baru di Gua Musang, Kelantan, semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG : Tiga daripada 15 murid dan pelajar parah selepas van sekolah yang dinaiki mereka terbalik selepas diseret sebuah lori balak sejauh 19 meter di simpang tiga hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di Bandar Baru di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, lori balak itu dipercayai cuba mengelak daripada melanggar sebuah kereta yang tiba-tiba keluar dari simpang sebelum merempuh van sekolah dan tiga kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati, kemalangan berlaku disebabkan kecuaian sebuah kereta jenis Kia Spectra yang keluar simpang untuk membelok ke kanan.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kereta terbabit dilanggar oleh sebuah lori muatan balak sebelum kenderaan berat itu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Lori balak itu kemudiannya merempuh tiga buah kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Myvi, Honda Civic dan sebuah van Nissan Urvan yang dinaiki 15 pelajar dan murid berusia dalam lingkungan 7 sehingga 17 tahun itu sebelum diseret sejauh 19 meter dan terbalik.

“Siasatan mendapati, van tersebut sedang dalam perjalanan mengambil murid dan pelajar yang baru habis waktu persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra 2 di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Choon Foo memberitahu, tiga orang daripada penumpang van berkenaan mengalami kecederaan parah iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun patah tulang selangka dan seorang kanak-kanak perempuan 8 tahun mengalami darah beku pada dahi.

Katanya, selain itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun pula terkehel tulang paha kanan manakala mangsa yang lain hanya cedera ringan.

“Lelaki warga emas berusia 67 tahun yang merupakan pemandu kereta jenis Kia Spectra cedera pada bahagian mulut dan kepala.

“Semua mangsa terlibat dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk rawatan lanjut,”ujarnya

Choon Foo berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya dan siasatan lanjut masih dijalankan.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya