Zakat fitrah di Johor ditetapkan RM7, RM13 - Utusan Malaysia

Zakat fitrah di Johor ditetapkan RM7, RM13

MOHD FARED MOHD. KHALID (empat dari kiri) dan pegawai MAINJ menunjukkan kadar zakat fitrah bagi tahun ini di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kadar zakat fitrah di negeri ini ditetapkan pada RM7 dan RM13, meningkat sedikit berbanding RM7 dan RM10, tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata,  kadar itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa negeri berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan umat Islam di negeri ini.

“Kadar zakat itu berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan pada kadar satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.

“Kadar RM7 seorang adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan harian beras jenis super tempatan dan ia adalah kadar wajib minimum sebagaimana diputuskan. Kadar RM13 seorang adalah bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras selain daripada jenis super tempatan seperti beras wangi, beras basmathi dan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman Kadar Zakat Fitrah bagi tahun 1444H/ 2023M di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Dr. Nooh Gadot dan Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Ismail Abu.

Mohd. Fared turut mengumumkan bahawa MAINJ akan memberikan bantuan Hari Raya berjumlah RM14.22 juta kepada golongan asnaf, iaitu membabitkan seramai 6,585 ketua keluarga fakir dan 30,254 ketua keluarga miskin, iaitu setiap ketua keluarga fakir mendapat RM400 dan RM300 bagi setiap ketua keluarga miskin.

“Bagi tanggungan setiap keluarga fakir dan miskin pula akan mendapat bantuan Hari Raya RM50 yang melibatkan seramai 9,511 tanggungan keluarga fakir dan 49,692 tanggungan keluarga miskin,” katanya.

MAINJ mengunjurkan sebanyak RM25.87 juta kutipan pungutan zakat fitrah yang membabitkan 2.2 juta umat Islam di negeri ini.

“Pengiraan unjuran ini mengambil kira keadaan ekonomi pada waktu ini, iaitu dengan mengambil nisbah 20 peratus adalah pembayar bagi RM7 dan 80 peratus pembayar RM13,” katanya. 

Bagi memudahkan umat Islam, bayaran zakat fitrah boleh dibuat secara dalam talian menerusi zakat online payment dan aplikasi TULUS atau terus ke kaunter MAINJ di setiap cawangan atau daerah.

Orang ramai juga boleh membuat bayaran kepada seramai 1,648 amil yang telah dilantik dan diberi tauliah bagi menjalankan tugasan memungut zakat fitrah di seluruh negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya