UMNO susun gerak kerja hadapi PRN selepas selesai pemilihan - Utusan Malaysia

UMNO susun gerak kerja hadapi PRN selepas selesai pemilihan

MOHAMAD Hasan turut menunaikan tanggungjawab mengundi dalam Pemilihan UMNO pada Persidangan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau Tahun 2023 di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: UMNO akan terus menyusun gerak kerja untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri sebaik sahaja proses Pemilihan UMNO yang berlangsung hari ini termasuk pemilihan di peringkat bahagian-bahagian selesai.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, penyusunan gerak kerja selepas proses pemilihan parti itu adalah berikutan berlaku beberapa perubahan kepemimpinan di peringkat akar umbi khususnya di peringkat sayap Pergerakan Pemuda UMNO dan Puteri UMNO.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, perkara tersebut juga mengambil kita berlakunya pertandingan jawatan ketua di peringkat bahagian-bahagian.

“BN sentiasa bersedia, untuk susunan gerak kerja menghadapi PRN. Ia akan dilakukan selepas sahaja Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian ini berlangsung, kita akan tahu, siapa nanti ketua bahagian, di Negeri Sembilan ada lima bahagian berlaku pertandingan, tunggu dahulu keputusan di peringkat bahagian hari ini apabila sudah susun kami akan memanggil mesyuarat perhubungan negeri untuk kita susun gerak kerja.

“Jentera di akar umbi tidak banyak perubahan cuma Pemuda UMNO dan Puteri UMNO sahaja yang banyak telah cukup umur dan rata-rata setiap bahagian lebih 70 peratus (mendapat) ketua, naib ketua dan jawatankuasa yang baharu, majoriti bahagian-bahagian di seluruh negara juga begitu.

“Ini memerlukan latihan semula kerana Pemuda dan Puteri UMNO ini tenaga gerak kerja di peringkat cawangan-cawangan dan akar umbi, latihan yang intensif perlu dilakukan kepada mereka untuk mengenal pasti dan mendedahkan mereka kepada cara untuk bersama menjadi jentera dalam menghadapi pilihan raya,” katanya.

Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Persidangan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau Tahun 2023 di sini hari ini.

Pada persidangan kali ini menyaksikan beliau kekal menerajui kepemimpinan UMNO Bahagian Rembau apabila menang tanpa bertanding. Jawatan timbalan ketua dan naib ketua bahagian tersebut juga menyaksikan tidak berlaku pertandingan sekali gus ia diisi masing-masing oleh Datuk Seri Awaludin Said dan Datuk Zaifulbahri Idris.

MOHAMAD Hasan ketika ditemui pemberita pada Persidangan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau Tahun 2023 di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, Mohamad yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya UMNO menambah, selepas Pemilihan UMNO ini berlangsung, pengerusi-pengerusi perhubungan negeri yang baharu juga dijangka akan dilantik yang seterusnya akan menggerakkan jentera di peringkat Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu untuk menghadapi PRN di enam buah negeri terlibat.

“Kami baharu duduk di peringkat jawatankuasa induk dan telah pun melantik dan juga selepas ini nanti, pengerusi perhubungan (negeri) baharu pun banyak yang akan dilantik baharu, terpulang kepada presiden untuk menentukannya nanti.

“Tetapi mesyuarat telah saya lakukan sebagai Pengarah Pilihan Raya dengan memanggil semua pengerusi perhubungan untuk menggerakkan jentera di peringkat BN terlebih dahulu untuk siap sedia menghadapi PRN di enam buah negeri ini,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya