KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan belum ‘mematikan’ enjin perjuangan dalam menuntut royalti petroleum bagi memastikan hak negeri ini dikembalikan sebagaimana perjanjian yang telah dimeterai pada tahun 1970-an.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, perkara itu selari dengan pesanan bekas Menteri Besar Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu tuntutan tersebut diteruskan.
“Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz) berpesan perjuangan ini (royalti) ibarat menaiki kereta. Sampai di lampu isyarat dan lampu merah kita berhenti tetapi jangan matikan enjin.
“Jadi sekarang ini kita tidak mematikan enjin tetapi merangka apa yang patut kita buat,” katanya kepada ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Wan Roslan memberitahu, keputusan Kerajaan Perpaduan menafikan pemberian royalti petroleum kepada Kelantan dan Terengganu secara tidak langsung menampakkan wajah sebenar mereka.
“Bagi kami yang memperjuangkan royalti petroleum ini kita terima sahaja semua ketentuan Allah.
“Tetapi bagi pemimpin yang berjanji itu, kita nampaklah siapa dia sebenarnya. Jadi kita serahkan kepada rakyat untuk menilainya,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus.
Katanya, ia berikutan kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar tiga batu nautika dari garis surut wilayah kedua-dua negeri di Pantai Timur itu.
Ujarnya, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) menetapkan setiap negeri mempunyai hak ke atas laut wilayah di pesisir yang berdampingan dengan wilayahnya yang tidak melebihi tiga batu nautika dari garis air surut.-UTUSAN










