Tujuh masjid dijadikan PPS - Utusan Malaysia

Tujuh masjid dijadikan PPS

MOHD. FARED MOHD. KHALID meninjau keadaan Masjid Jamek Pekan Sri Gading yang dinaiki air sejak awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Tujuh buah masjid di negeri ini dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan seramai 1,024 mangsa daripada 213 keluarga, setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, daripada jumlah itu, masing-masing tiga masjid di Parit Yaani dan Sri Medan, manakala sebuah lagi di Semerah. 

Walau bagaimanapun, dua masjid di Sri Medan terpaksa ditutup selepas air banjir mula memasuki kawasan masjid petang tadi dan semua mangsa dipindahkan ke beberapa tempat lain dalam Pekan Sri Medan.

“Untuk mangsa yang ditempatkan di masjid sebagai PPS, semua makanan akan diuruskan oleh jawatankuasa masjid dengan kos akan dibiayai oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ). 

“Kami menjangkakan lebih banyak PPS akan dibuka sama ada hari ini atau esok berikutan keadaan paras air banjir yang menunjukkan peningkatan lewat petang tadi,” katanya selepas melakukan tinjauan di Masjid Jamek Pekan Sri Medan serta beberapa kampung berhampiran hari ini. 

Menurutnya, keadaan air pasang besar pada paras 2.9 meter mulai hari ini hingga Rabu, selain air dari bahagian hulu sungai yang semakin banyak dijangka memburukkan lagi keadaan banjir di kawasan Parit Sulong, khususnya di Sri Medan. 

Tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati banyak rumah di kampung berdekatan Pekan Sri Medan ditenggelami air sedalam dua hingga tiga meter menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ke tempat selamat. 

Mohd. Fared turut mencadangkan supaya masjid boleh diwartakan sebagai PPS pada masa akan datang bagi memudahkan pengurusan mangsa sekiranya penempatan sementara mangsa penuh seperti yang berlaku sekarang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya