Tujuh bulan baiki jalan rosak pasca banjir - Fazli - Utusan Malaysia

Tujuh bulan baiki jalan rosak pasca banjir – Fazli

MOHAMAD FAZLI MOHAMAD SALLEH ditemui semasa menghadiri sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menjangka proses membaik pulih jalan-jalan yang rosak akibat banjir akan mengambil masa sehingga tujuh bulan, khususnya yang melibatkan kerosakan teruk akibat tanah runtuh serta  jambatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerosakan melibatkan permukaan jalan seperti berlubang pula boleh dibaiki dalam tempoh beberapa minggu, namun turut bergantung dengan beberapa faktor, khasnya peruntukan.

“Kerja membaik pulih jalan-jalan rosak pasca banjir ini memerlukan sedikit masa kerana walaupun permukaan sudah kering, tetapi masih ada air di bawah tanah. Jadi, kerja membaik pulih hanya boleh dibuat selepas air bawah tanah kering.

“Setakat ini kita telah mengenal pasti 36 lokasi jalan rosak, khususnya yang melibatkan cerun dan jambatan runtuh, antara kawasan paling teruk terjejas adalah di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram dan Felda Chemplak di Segamat. Isu besar kita hadapi ketika ini adalah proses pemulihan tidak boleh dibuat segera kerana memerlukan kajian teknikal yang boleh mengambil masa sehingga tujuh bulan untuk diselesaikan.

“Hal itu kerana selepas kajian teknikal, kita perlu melalui proses mendapatkan kelulusan sebelum pemilihan kontraktor bersesuaian. Ini kerana apabila terdapat banyak kerosakan serentak, jadi mungkin ‘resources’ kita tidak mencukupi.

“Jadi kita berharap JKR (Jabatan Kerja Raya) dan syarikat konsesi boleh menggunakan sumber-sumber luar untuk melaksanakan kerja membaiki jalan rosak di seluruh Johor,” katanya ditemui semasa menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohamad Fazli memberitahu, pihaknya telah menghantar permohonan bagi mendapatkan peruntukan berjumlah RM168 juta kepada kerajaan Persekutuan untuk kerja membaik pulih kerosakan jalan, dua minggu lalu.

“Jumlah itu bagaimanapun tidak melibatkan keseluruhan kerosakan di Batu Pahat ekoran terdapat beberapa kawasan di daerah berkenaan yang masih ditenggelami banjir. Jumlah kerosakan sebenar dan keseluruhan peruntukan yang diperlukan untuk membaiki jalan rosak akibat banjir di negeri ini akan dikaji semula selepas banjir pulih sepenuhnya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya