Tiada lagi hujan lebat di Semenanjung

Tiada lagi hujan lebat di Semenanjung

MUHYIDDIN Yassin meminta peruntukan untuk ahli Parlimen disegerakan bagi membantu mangsa-mangsa banjr di kawasan masing-masing. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cuaca di Semenanjung diramal baik selepas ini berikutan pusaran angin bertekanan rendah yang membawa hujan lebat telah beralih ke timur.

Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah meramalkan, pusaran angin yang mengatur hujan bertahan dalam tempoh sehingga 48 jam yang meningkatkan kadar curahan hujan sudah beralih arah.

“Keadaan hujan teruk di selatan Semenanjung dan bahagian ekor Borneo disebabkan pusaran angin tekanan rendah berada di tengah Selat Karimata antara Borneo dan Semenanjung.

“Kalau kita lihat, hujan lebat berlaku setiap hari di Kuala Lumpur, tetapi hanya satu jam, maka yang menjadi masalahnya adalah apabila hujan itu dalam satu tempoh masa yang lebih lama.

“Hujan teruk sebelum ini disebabkan pusaran angin tekanan rendah yang berada di Selatan Semenanjung khasnya semasa 2 dan 3 Mac itu. Situasi ini sama seperti 20 dan 21 November lalu, tetapi pusaran itu berada di Selat Melaka.

“Namun, sekarang ini pusaran itu sudah bergerak pindah dan ia (hujan lebat dalam tempoh masa yang lama) lebih tertumpu kepada Borneo, jadi cuaca di semenanjung mula elok mulai hari ini (semalam),” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, Dr. Azizan berkata, musibah banjir masih memerlukan masa untuk surut biarpun keadaan cuaca diramalkan semakin baik.

“Kena ingat hujan yang turun dua atau tiga hari lepas mengalir ke sungai, jadi kita tetap banjir, cuma tiada lagi curahan air baru.

“Tetapi air banjir yang ada nak keluar ke laut mungkin lambat sedikit sebab air pasang besar masih berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, hujan yang berlaku di beberapa negeri ketika ini adalah disebabkan fenomena luar biasa Monsun Timur Laut (MTL).

Katanya, ini kerana MTL masih bertahan lebih kuat berbanding jangkaan biasa yang mana ia sepatutnya sudah mulai lemah menjelang Februari dan Mac.

“Fenomena sekarang luar biasa sikit, tetapi keluarbiasaan itu ada kaitan dengan suhu di Siberia yang lebih sejuk daripada lazim dan kita masih lagi dipengaruhi La Nina.

“Udara sejuk bergerak keluar dari Siberia sebagai angin barat laut dan seterusnya bertukar menjadi angin timur laut apabila tiba di perairan Laut China Selatan dan akan memanaskan udara itu untuk angkut lebih banyak wap air dan jatuhkan di kawasan kita.

“Maknanya, lagi kencang angin itu, maka lagi banyak wap air kutip dan lagi banyak hujan yang kita dapat. Jadi apabila musim bunga sudah mula di Siberia, perbezaan suhu antara kita dan kawasan itu akan mula kurang,” jelasnya.

Azizan menambah, keadaan cuaca yang semakin baik itu bagaimanapun tidak sehingga mengakibatkan kemarau.

Katanya, ini kerana cuaca cuma diramal lebih kering apabila masuk Monsun Barat Daya pada Mei ini.

“(Selepas MTL), kita akan masuk musim peralihan antara monsun yang akan bertahan sampai bulan Mei apabila monsun Barat Daya akan bermula.

“Untuk Kuala Lumpur, musim peralihan monsun ialah masanya banyak ribut petir. Tetapi walaupun hujan lebat, ia bukannya jenis yang curah dalam tempoh masa lama, cuma hujan lebat antara satu hingga tiga jam. Boleh jadi banjir kilat di beberapa tempat tetapi ia akan surut cepat.

“Jadi, kita ada beberapa zon iklim di Semenanjung dan Sabah Sarawak. Yang ketara hujan banyak ialah di pantai barat Semenanjung dan tidak di Pantai Timur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN