Terima kasih Utusan Malaysia, Kosmo - Azizah - Utusan Malaysia

Terima kasih Utusan Malaysia, Kosmo – Azizah

LAPORAN Utusan Malaysia membantu Azizah dan keluarganya diselamatkan segera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: “Terima kasih kepada wartawan Utusan Malaysia dan Kosmo di Segamat yang kerap kali menelefon serta bertanya keadaan saya sekeluarga sewaktu di atas bumbung menanti bantuan.”

Itulah luahan yang seorang mangsa banjir, Azizah Bani, 53, yang terperangkap bersama lima lagi ahli keluarganya di atas bumbung akibat kediaman mereka dinaiki air sejak pukul 4 pagi tadi.

Dia bersyukur kerana segera diselamatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara berperingkat-peringkat selepas mendapat maklumat tentang kecemasan yang menimpa keluarga hasil sebaran berita oleh kedua-dua media berkenaan.

“Bot hanya boleh memuatkan dua orang mangsa pada satu-satu masa. Jadi, suami suruh saya dan anak-anak diselamatkan dahulu walaupun dia juga dalam keadaan letih, sejuk dan kelaparan sejak pagi tadi.

“Mohon doakan suami serta abang saya juga dapat diselamatkan secepat mungkin memandangkan ada juga mangsa banjir lain masih terperangkap,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia kira-kita pukul 3 petang.

Azizah serta tiga orang anaknya kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) SMK Seri Bali, Chaah dan sedang menanti suami serta abang untuk diselamatkan. 

Mereka sekeluarga telah berada di atas bumbung rumahnya sejak pukul 8 pagi tadi menanti bantuan.

Azizah berkata, mereka terpaksa memecahkan bumbung rumah dan memanjat keluar melalui atap untuk menyelamatkan diri apabila rumahnya mula ditenggelami air.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada pihak PDRM serta pihak berwajib yang lain yang membantu operasi menyelamat mangsa banjir.

“Tidak lupa juga warga maya yang terdiri daripada warga Labis, Chaah serta sekitar Segamat yang mendoakan kami sekeluarga dan memberikan kata-kata semangat menerusi laman sosial saya,” katanya dalam nada sebak.

Terdahulu, Utusan Malaysia telah menyiarkan berita keadaan Azizah sekeluarga yang menanti bantuan di atas bumbung rumahnya di di Jalan Sidek, Kampung Jawa, Chaah di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya