Tekong darat, enam PATI cedera kemalangan

Tekong darat, enam PATI cedera kemalangan

KEADAAN kereta yang membawa enam PATI Bangladesh remuk selepas terbabas di Kampung Gual Bunut, Kubang Kual di Rantau Panjang, Kelantan semalam.-UTUSAN/IHSAN PENDUDUK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang tekong darat dan enam pendatang tanpa izin (PATI) warganegara Bangladesh cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas di Kampung Gual Bunut, Kubang Kual di Rantau Panjang dekat sini, semalam.

Kemalangan itu disedari sepasukan pegawai bersama anggota Balai Polis Rantau Panjang dan Balai Polis Lubok Stol di sini kira-kira pukul 7 malam semasa mereka menjalankan rondaan Ops Tapis di kawasan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, semasa menjalankan rondaan, anggota bertugas melihat sebuah kereta jenis Volkswagen Jetta yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun terbabas di tepi jalan.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui enam PATI Bangladesh masing-masing berusia dalam lingkungan 23 hingga 52 tahun.

“Pemeriksaan lanjut turut menjum menjumpai 19 biji pil yang disyaki dadah di dalam kereta tersebut. 

“Dua daripada enam PATI itu yang mengalami kecederaan masing-masing dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Aminuddin memberitahu, pemandu dan empat lagi PATI yang hanya mengalami cedera ringan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, lelaki warga tempatan itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA manakala enam orang PATI mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Hasil semakan yang dilakukan mendapati pemandu terbabit mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran  (ATIPSOM) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.