Shahidan minta Ahli Parlimen kerajaan tidak terlalu emosi masa menjawab soalan

Shahidan minta Ahli Parlimen kerajaan tidak terlalu emosi masa menjawab soalan

SHAHIDAN Kassim (kiri) ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu Kali ke-56 di Dewan Jubli Perak MPKB-BRI, di Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim meminta wakil-wakil rakyat dari blok Kerajaan Perpaduan diminta tidak terlalu beremosi semasa menjawab setiap pertanyaan dari pihak pembangkang semasa sidang Dewan Rakyat.

Shahidan berkata, sidang Parlimen merupakan gelanggang untuk berhujah serta mengkritik secara membina dan beliau berasa sedih apabila setiap pertanyaan dalam keadaan seumpama mencari gaduh.

“Saya nasihatkan wakil pihak kerajaan jangan terlalu emosi ketika menjawab di Parlimen. Jangan bertempik-tempik. Kami bukan pembangkang yang akan bertindak keterlaluan sebaliknya mengkritik secara membina.

“Kami merupakan orang-orang berpengalaman dalam Parlimen. Bukan hendak cari pasal tetapi mahu kerajaan menunjukkan sikap terbuka dan menerima kritikan serta menjawab bukan untuk kami tetapi untuk rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kota Bharu Kali ke-56 di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), di sini hari ini.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu memberitahu, menekan, mengherdik dan menjawab dalam bentuk kritikan atau secara berdendam bukan cara yang betul untuk memberi jawapan balas di Parlimen kerana kesemua ahli-ahlinya bukan mahu bergaduh.

“Siapa nak bergaduh? Saya sendiri bercakap secara elok kerana kita cakap demi kepentingan rakyat. Sekarang bukan zaman untuk menjerit-jerit dan mencetuskan suasana hiruk-pikuk atau kacau-bilau demi menaikkan seorang pemimpin.

“Sekarang ini zaman moden yang mana kita kena menjawab dengan tenang fikiran. Kita juga tidak boleh bersikap kuku besi yang mana kalau ditegur sedikit akan disaman dan sebagainya,” ujarnya.

Shahidan turut memaklumkan, beliau akan membawa banyak usul pada persidangan Parlimen minggu hadapan berkaitan permasalahan negara dan paling mutakhir adalah berkaitan kuasa menteri untuk mengecualikan pematuhan usul mesyuarat agung.

Katanya, ia bukan untuk mempersoalkan sesiapa tetapi lebih kepada ingin meminta penjelasan dan penerangan mengenai keadaan sebenar berkaitan perkara tersebut.

“Ada dekat 15 usul yang saya mahu bawa ke Parlimen. Minggu ini adalah minggu yang elok buat saya dan saya tegur cara elok tetapi minggu depan kalau semua orang ajak bertempik dan tumbuk-tumbuk meja, apa pilihan yang tinggal buat saya?

“Kami (blok pembangkang) mahu bercakap secara elok dan tidak perlulah keluarkan kami daripada sidang Parlimen atau sebagainya,”  tegasnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya