Seorang pelancong Singapura parah, 11 cedera, van persiaran dirempuh bas - Utusan Malaysia

Seorang pelancong Singapura parah, 11 cedera, van persiaran dirempuh bas

KEADAAN kemalangan yang membabitkan empat kenderaan di KM139.9, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan di Pagoh, Muar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang pelancong Singapura parah, manakala 11 yang lain cedera ringan apabila van persiaran dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 139.9, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan di Pagoh, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, dalam kejadian pukul 5.15 petang, kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres, sebuah van persiaran serta dua kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V dan Mazda CX-30.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas dalam perjalanan dari Melaka ke Johor Bahru yang berada di lorong kiri merempuh sebuah van persiaran di hadapannya sebelum van berkenaan melanggar kereta jenis Mazda dinaiki dua individu.

“Apabila berlaku rempuhan itu, kereta Mazda berkenaan turut melanggar satu lagi kenderaan lain di hadapannya dan menyebabkan keseluruhan empat kenderaan terbabit dalam nahas itu.

“Kesemua mangsa cedera adalah warga Singapura yang menaiki van persiaran, manakala 28 penumpang bas ekspres terlibat tidak tercedera dan hanya pemandu sahaja yang mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fadli Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 5.23 petang sebelum sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian telah membantu mengeluarkan empat mangsa yang terperangkap di dalam van persiaran.

“Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Muar dengan menggunakan ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta ambulans milik Kementerian Kesihatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya