Semakan kehakiman jika tidak puas hati

Semakan kehakiman jika tidak puas hati

MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mana-mana ahli UMNO yang terkesan dengan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang meluluskan usul tambahan agar Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan boleh melakukan semakan kehakiman ke mahkamah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, semakan kehakiman merupakan saluran terakhir jika mereka merasakan mempunyai hujah kuat bagi menjawab segala persoalan undang-undang.

Bagaimanapun ujarnya, mereka perlulah terlebih dahulu mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri.

“Sebelum pergi ke mahkamah, mereka kena kemuka rayuan kepada Ketua Pengarah RoS dan kemudian perkara ini akan dirujuk kepada Menteri Dalam Negeri. Jika mereka masih tidak berpuas dengan keputusan menteri, selepas itu bolehlah kemuka semakan kehakiman dalam tempoh 30 hari.

“Dalam soal ini, hanya ahli UMNO terkesan boleh berbuat demikian. Manakala yang telah keluar parti dan anggota parti lain, tidak mempunyai locus standi untuk mengemukakan rayuan dan semakan kehakiman untuk melihat semula keputusan RoS ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Kementerian Dalam Negeri menerusi RoS telah memberi kelulusan terhadap usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan seperti diluluskan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

Beliau berkata, surat pengesahan daripada kementerian itu berhubung kelulusan tersebut telah diterima parti berkenaan dan surat itu antara lain berkaitan pengecualian daripada pematuhan kepada Seksyen 13 (1)(c) (4) Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) yang membolehkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu akan datang.

Dalam pada itu, Mohamed Haniff Khatri menambah, ahli UMNO tidak berpuas hati berdepan cabaran utama memandangkan usul itu telah dibuat mengikut proses parti di samping dilakukan mendapat sokongan seluruh perwakilan.

Katanya, keputusan usul tambahan itu diluluskan Perhimpunan Agung UMNO sekali gus membuktikan mendapat sokongan majoriti perwakilan berbanding segelintir ahli parti dikatakan tidak berpuas hati.

“Berhubung isu proses kelulusan usul tambahan itu tidak mengikut prosedur pula, saya berpandangan mengapa bantahan tidak dibuat ketika usul ini dibentangkan sewaktu perhimpunan berlangsung. Perkara itu hendaklah dibuat segera sebelum usul diluluskan.

“Ini antara cabaran yang dihadapi dalam kalangan segelintir ahli tidak berpuas hati sedangkan jumlah menyokong adalah ramai dan majoriti,” katanya.

Sementara itu, usaha akhbar ini bagi mendapatkan maklum balas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan tidak berjaya kerana setakat ini masing-masing tidak menjawab panggilan telefon dan membalas kirim mesej. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN