Saya sudah menang - Yahya - Utusan Malaysia

Saya sudah menang – Yahya

YAHYA JAAFAR (kanan) mendakwa memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang calon Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar mendakwa  telah memenangi jawatan berkenaan selepas kiraan akhir dibuat semasa proses pemilihan UMNO Bahagian, semalam.

Beliau mendakwa memenangi jawatan tersebut dengan perbezaan 15 undi menewaskan Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin.

“Sebenarnya selepas kiraan akhir dibuat, saya telah mendahului jawatan berkenaan dengan perbezaan 15 undi, kiraan semula juga telah dibuat sebanyak tiga kali.

“Namun pihak lawan masih berasa tidak berpuas hati dengan keputusan itu sehingga beberapa individu masuk di bilik kiraan undi untuk membuat gangguan. Sudah tentu saya berasa sedih dan kecewa kerana sekiranya tiada apa-apa gangguan berlaku saya telah memenangi jawatan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang berlangsung di Hotel New York, di sini kecoh sehingga terpaksa ditangguh dan digantung ekoran wujud kertas undi lebih daripada jumlah perwakilan.

“Saya berharap keputusan awal yang direkodkan, iaitu saya telah memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru akan dikekalkan, walau bagaimanapun saya akan menunggu keputusan dibuat JPU Pusat,” katanya.

Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Johor Bahru, Azmi Samin pada pukul 10.15 malam tadi memaklumkan, keputusan pemilihan itu ditangguh dan digantung kerana jumlah perwakilan yang berdaftar untuk mengundi seramai 523 orang, namun setelah kiraan dibuat jumlahnya mencecah 590 kertas undi.

Keputusan itu menyaksikan pemilihan melibatkan kesemua jawatan yang dipertandingkan turut terjejas.

Sementara itu, Mohd. Hairi tidak memberikan sebarang kenyataan tentang insiden berkenaan terhadap pertanyaan yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya