Rugi beli saham sampai ada diceraikan, tumpang rumah anak - Utusan Malaysia

Rugi beli saham sampai ada diceraikan, tumpang rumah anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gara-gara mahu cepat kaya, terdapat kalangan pembeli Saham Tebus Islam (Islamic Redeemable Share-PRS-i) terpaksa menumpang di rumah anak dan bercerai selepas duit dilaburkan hangus  begitu sahaja.

Semalam seramai 330 aduan diterima Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berhubung kerugian akibat membeli  saham PRS-i sehingga membabitkan kerugian melebihi RM150 juta.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, aduan itu dibuat ke atas sebuah syarikat yang didakwa tersenarai di Bursa Malaysia dipercayai wujud sejak tahun 2021.

Menurut beliau, pihak beliau percaya setakat ini kira-kira 700 individu di seluruh negara rugi akibat daripada pembelian saham berkenaan.

“Seramai 330 individu tampil kepada kita sejak  dua minggu lalu bagi membuat aduan dengan kerugian dianggarkan RM100 juta dan daripada jumlah itu, 150 individu sudah membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui bersama kira-kira 100 mangsa rugi kerana  membeli saham di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, mangsa memaklumkan mereka tertarik dengan tawaran RPS-i apabila dijanjikan dengan pulangan dividen sehingga 18 peratus setahun atau 1.8 peratus setiap bulan kepada setiap ‘subscriber’ yang membeli RPS-I. 

DIVIDEN

“Masalah mulai timbul apabila mangsa tidak lagi menerima bayaran dividen bermula pada Mei tahun lalu. 

“Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, mangsa kemudian dimaklumkan bahawa syarikat itu akan membuat ‘early redemption’ (penebusan awal) ke atas RPS-i yang dibeli oleh mangsa,” katanya. 

Beliau berkata,  syarikat itu didakwa  menyalahgunakan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dengan mendakwa diberi kelulusan oleh suruhanjaya berkenaan untuk melaksanakan pelaburan selamat. 

“Ia menyebabkan mangsa terpedaya bahawa syarikat itu dikawal selia oleh SC. Malah, syarikat tersebut mendakwa pelaburan yang dibuat adalah patuh syariat dan tersenarai di Bursa Malaysia. 

“Syarikat ini juga menggunakan nama ikon pelaburan ternama bagi ‘memancing’ mangsa supaya menyertai pelaburan berkenaan,” katanya. 

 Malah, katanya, terdapat mangsa yang tampil memaklumkan diceraikan kerana simpanan habis selepas tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan.  

“Malah, ada mangsa berusia 60 tahun yang sepatutnya menikmati hasil pekerjaan terpaksa menumpang rumah anak kerana wang simpanan habis digunakan untuk melabur (pelaburan penipuan). 

“Justeru, kami berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap laporan yang dibuat ke atas mereka yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya