PUTRAJAYA: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bakal dirombak dan ditukarkan nama kepada Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai usaha membentuk kekuatan parti itu.
Menurut sumber parti kepada Utusan Malaysia, keputusan itu bakal dibuat kepimpinan tertinggi Putra selepas mereka mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) yang dijangka pada hujung April atau awal Mei depan.
Beliau berkata, penyertaan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penasihat parti Putra akan mengukuhkan hala tuju perjuangan parti termasuk parti-parti yang bergabung di bawah gerakan itu sebelum ini seperti Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).
Katanya, keputusan itu bakal dibuat sebulat suara selepas tindakan Dr. Mahathir keluar Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan tidak lagi menjadi sebahagian daripada GTA.
“Pejuang menghantar surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menarik keluar daripada GTA, menyebabkan RoS menangguhkan pendaftaran GTA untuk diluluskan.
“Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali sanggup menyerahkan parti beliau kepada Tun dan akan memanggil AGM sekali gus untuk tukar nama Putra kepada GTA, dan Tun akan jadi Pengerusi.
“Kemudian semua parti Berjasa, IMAN membubarkan parti masing-masing dan menyertai GTA,” katanya di sini semalam.
Menurut sumber itu, Dr. Mahathir sedang merangka pelan untuk mengukuhkan penguasaan kaum Melayu selepas meramalkan kaum itu bakal hilang kuasa sepenuhnya di negara ini selepas dua kali pilihan raya umum (PRU) kelak memandangkan kekuatan dominan bangsa pribumi tersebut semakin teruk terhakis setelah PRU15 lalu.
Beliau berkata, PRU16 bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara pakatan parti politik terbesar sekali gus mengulangi peristiwa bagaimana Melayu berontak melawan Malayan Union.
Bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu kini menyertai Putra pada 1 Mac lalu sebagai platform meneruskan memperjuangkan nasib orang Melayu selepas kecewa dengan tindakan Pejuang yang diasaskan sendirinya pada 2020 yang bertindak keluar dari GTA. – UTUSAN










