'Port' diserbu, 27 penagih diberkas - Utusan Malaysia

‘Port’ diserbu, 27 penagih diberkas

LING TIAN SOON (kiri) berbual dengan Azli selepas mengadakan sidang akhbar berkaitan tangkapan penagih dadah dalam Operasi JIHAD di Mukim Plentong, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri ini menahan seramai 27 penagih dadah termasuk seorang wanita dalam menjalankan serbuan di Mukim Plentong, Pasir Gudang, awal  pagi semalam.

Kehadiran anggota penguat kuasa menyebabkan ‘mat gian’ terbabit lari bertempiaran ke kawasan paya bakau malah sanggup menggadaikan nyawa terjun ke dalam sungai bagi mengelak dicekup.

Dalam operasi Johor Iltizam Hapus Ancaman Dadah (JIHAD) yang dijalankan bermula kira-kira 4.30 pagi itu, ‘port’ dadah itu didatangi penagih dadah secara berperingkat-peringkat mengunjungi kawasan bertutup kanvas tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata,  seramai 18 individu berjaya ditangkap dalam operasi tersebut, namun ada yang berjaya meloloskan diri.

Beliau yang turut serta dalam serbuan itu berkata, sembilan lagi penagih ditahan dalam operasi dari rumah ke rumah di sekitar kawasan berkenaan berdasarkan maklumat awam.

“Dalam operasi JIHAD ini, kita berjaya seramai 27 individu termasuk seorang wanita berusia 20 hingga 59 tahun dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di ‘port’ bakau tersebut.

“Daripada jumlah tersebut, 20 suspek dikesan positif dadah jenis methamphetamine dan opiate,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Setia Tropika, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah AADK Johor, Azli Ubin.

Kesemua yang ditahan itu akan didakwa di bawah Akta 3(1)(a) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Dalam pada itu, Tian Soon memberitahu, sebanyak 17 mukim di negeri ini adalah mukim ‘hotspot’ aktiviti penyalahgunaan dadah dan Mukim Plentong adalah salah satu daripadanya serta mencatatkan jumlah penyalahgunaan dadah tertinggi di daerah Johor Bahru.

“Kalau mengikut rekod kita, ada 17 mukim di dalam Johor yang telah diklasifikasikan sebagai mukim ‘hotspot’, ini adalah berdasarkan jumlah kes yang kita dapat serta kes yang berulang.

“Dalam memastikan Johor terus maju dan membangun, menjadikan Johor bersih dan selamat adalah satu keperluan. Justeru, kita akan terus fokus untuk menghijaukan 17 ‘hotspot’ dadah di negeri ini dalam tempoh lima tahun,” katanya sambil memaklumkan AADK negeri dengan rakan strategik seperti pihak polis dan kerajaan negeri akan memperbanyakkan lagi operasi seperti itu.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga berperanan membersihkan kawasan tumpuan penagih dadah bagi membendung masalah itu dan mencapai hasrat kerajaan negeri mengawal penyalahgunaan dadah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya