PN Negeri Sembilan belum bincang siapa calon MB - Utusan Malaysia

PN Negeri Sembilan belum bincang siapa calon MB

EDDIN SYAZLEE SHITH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Belum ada perbincangan di peringkat Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan berkenaan calon Menteri Besar daripada gabungan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, perbincangan di antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan ketika ini hanyalah mengenai rundingan kerusi dan soal siapakah calon Menteri Besar yang akan ditampilkan belum lagi disentuh.

“Mungkin di peringkat Pusat sudah dibincangkan tetapi di sini belum lagi, bagaimanapun siapa sahaja kami terima, tiada masalah.

“Apapun seperti yang dimaklumkan, Bersatu akan mengetuai jentera PN di Negeri Sembilan, itu yang boleh dipastikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini bahawa parti itu sudah mempunyai calon Menteri Besar yang akan dijadikan ‘poster boy’ di Negeri Sembilan dan Selangor, bagi menghadapi PRN.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu baru-baru ini berkata, parti itu akan melantik Menteri Besar di Selangor dan Negeri Sembilan jika meraih kemenangan dalam PRN tidak lama lagi.

Kata beliau, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

Sementara itu, Eddin Syazlee yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan dalam pada itu berkata, jentera PN Negeri Sembilan sudah digerakkan bagi menghadapi PRN.

“Rundingan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih berlangsung, ada yang sudah selesai dan mana-mana kerusi yang dilihat bertindih masih lagi diperhalusi,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya