Perwakilan kuasa penganugerahan Pingat Jasa Malaysia ditambah - Utusan Malaysia

Perwakilan kuasa penganugerahan Pingat Jasa Malaysia ditambah

MOHAMAD Hasan (kanan) memakaikan anugerah Pingat Jasa Malaysia pada Majlis Penganugerahan PJM kepada seramai 450 orang veteran ATM, balu serta wakil waris yang diadakan di Wisma Perwira, Pangkalan Udara Sendayan, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menteri Pertahanan bersetuju untuk wakil kuasa bagi menyempurnakan pemakaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) ditambah bagi mempercepatkan penganugerahan pingat tersebut kepada baki 45,000 veteran tentera yang belum menerimanya.

Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selepas wakil kuasa tersebut diberikan kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Ketua-ketua Perkhidmatan ATM, beliau semalam memutuskan untuk Panglima Medan Tentera Darat Malaysia dan Panglima Armada Tentera Laut Diraja Malaysia dan Panglima Wilayah Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia dan setaraf turut diberikan kuasa yang sama.

“Terdapat lebih 40,000 veteran yang masih menunggu, kalau diikutkan, jika kami tidak tambah (wakil kuasa) sehingga tahun 2049 baru habis jadi ia perlu dipercepatkan kerana ramai yang masih belum menerimanya.

“Kami cuba untuk buat secepat mungkin (penganugerahan) dengan penambahan bilangan (wakil kuasa) dan majlis-majlis diperbanyakkan. Masa menunggu itu dapat dikurangkan tempohnya, ia tidak boleh diturunkan (kuasa) di bawah sangat kerana ia merupakan anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong dan statusnya perlu dijaga,” katanya.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan PJM kepada seramai 450 orang veteran ATM, balu serta wakil waris yang diadakan di Wisma Perwira, Pangkalan Udara Sendayan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Sehingga hari ini, seramai 36,364 warga veteran ATM telah menerima PJM yang merupakan pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian dan pengorbanan dalam menyumbang kepada kebebasan Malaysia daripada ancaman pengganas komunis.

MOHAMAD Hasan dan Affendi (kanan) beramah mesra bersama penerima Pingat Jasa Malaysia (OJM) pada Majlis Penganugerahan PJM kepada seramai 450 orang veteran ATM, balu serta wakil waris yang diadakan di Wisma Perwira, Pangkalan Udara Sendayan, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Dalam pada itu Mohamad menjelaskan, cadangan pihak kementerian untuk menambah seramai 6,000 veteran ATM bagi menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) akan melibatkan penambahan peruntukan sebanyak RM21 juta.

“Sebelum ini sedia ada seramai 9,000 veteran, kami mahu tambah seramai 6,000 lagi menjadi seramai 15,000 penerima. Kami akan bawa kepada kerajaan sebagai tambahan bajet, jika tiada pun pihak kementerian akan cari secara dalaman untuk disegerakan.

“Ia bagi memastikan kebajikan ahli-ahli veteran yang benar-benar layak menerima dapat kita berikan,” katanya.

Beliau menjelaskan lagi, pihak kementerian tidak dapat memenuhi permintaan untuk penyelarasan pencen warga ATM kerana ia akan melibatkan impak kewangan yang besar.

“Kalau kita cakap pasal pencen nanti ia akan melibatkan perkhidmatan lain juga, kami buat melalui pemberian bantuan iaitu menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV). Terdapat lebih 20 jenis bantuan yang telah disediakan,” tambahnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya