SEGAMAT: Seorang penghantar makanan bergadai nyawa melunaskan tugas menghantar semua pesanan pelanggannya sebelum dia terkandas dalam banjir di sini, semalam.
Menurut Zahid Noosham, 38, seperti biasa dia memulakan rutin hariannya menyemak pesanan makanan daripada pelanggan dan merancang perjalanan ke lokasi penghantaran.
“Seawal 8 pagi saya sudah mula menghantar makanan dan cuaca semalam agak mencabar dengan hujan lebat. Sesetengah kawasan juga sudah mula dinaiki air tetapi saya terpaksa meredah air yang melimpah di atas jalan dan hampir tergelincir kerana arus deras.
“Nasib tidak menyebelahi saya apabila kira-kira pukul 6 petang, setelah selesai semua penghantaran, saya terkandas di kawasan Bandar Segamat yang sudah dinaiki air deras,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Jalan Pawang, di sini.
Walaupun menyedari risikonya, namun demi sesuap rezeki, dia nekad menyelesaikan semua pesanan pelanggannya.
“Alhamdulillah rezeki semalam walaupun hujan lebat, masih ramai pelanggan membuat pesanan penghantaran makanan. Sewaktu terkandas di tengah Bandar Segamat, saya segera menghubungi rakan di Bukit Siput dan menumpang bermalam di rumahnya.
“Ini sahaja kerja saya mampu buat kerana sebelum ini pada tahun 2020, saya diberhentikan kerja kerana kilang tempat bekerja ditutup kerana tidak mampu membayar gaji pekerja sewaktu pandemik Covid-19,” kongsi bapa kepada seorang cahaya mata itu.
Zahid yang tinggal di Buloh Kasap berkata, pendapatannya turut terjejas baru-baru ini apabila Segamat turut dilanda banjir pada Januari lalu.
“Banjir kali ini amat dahsyat dengan arus sungai melimpah deras serta ramai warga Segamat yang terkandas di tempat-tempat awam apabila air naik secara mendadak.
“Sudah tentu kami semua penghantar makanan terjejas. Kami mohon pihak kerajaan dapat memberi bantuan kerana sewa rumah, kereta dan komitmen bulanan yang lain masih perlu diselesaikan meskipun bencana alam berlaku,” katanya kelihatan sugul. – UTUSAN