Penceramah agama tanpa tauliah, penganjur boleh dikenakan tindakan - Utusan Malaysia

Penceramah agama tanpa tauliah, penganjur boleh dikenakan tindakan

SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR menitahkan bahawa bahawa semua penceramah yang mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini perlu memiliki tauliah daripada MAINJ.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU:  Penceramah yang didapati mengajar atau memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah di negeri ini akan dikenakan tindakan undang-undang oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap penganjur acara atau program berkenaan yang dianggap sebagai bersubahat.

Menurutnya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan bahawa penceramah yang mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini perlu memiliki tauliah.

“Mana-mana penganjur kepada acara mengajar dan memberi syarahan agama Islam menggunakan penceramah yang tidak bertauliah dari MAINJ adalah melakukan satu kesalahan penyubahatan di bawah Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mereka yang didapati mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini tanpa tauliah melakukan kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 dan Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohd. Fared berkata, tauliah yang diperlukan daripada MAINJ itu meliputi kawasan masjid dan surau serta mana-mana tempat di negeri ini.

“Selaras dengan Seksyen 118(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003, antara kaedah mengawal doktrin dan fahaman yang menyeleweng daripada hukum syarak di negeri ini adalah dengan memastikan mereka yang mengajar dan memberi syarahan agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam hendaklah memiliki tauliah daripada MAINJ.

“MAINJ adalah pihak berkuasa agama Islam yang menjaga urusan hal ehwal masyarakat Islam di negeri ini supaya  mematuhi hukum syarak berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah yang syariatnya berlandaskan mazhab Shafie tanpa menolak mazhab muktabar lain serta bertasawuf berlandaskan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya