Pemilik syarikat pengurusan acara didakwa ancam bunuh Radja Band - Utusan Malaysia

Pemilik syarikat pengurusan acara didakwa ancam bunuh Radja Band

C.S. MUREMTHIRAM (tengah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap kumpulan muzik Indonesia, Radja Band di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pemilik syarikat pengurusan acara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap kumpulan muzik Indonesia, Radja Band, Sabtu lalu.

C. S. Muremthiram, 37, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Samsudin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa membuat ugutan dengan mengancam mahu membunuh Ian Kasela, 49; Seno Aji Wibowo, 43 dan Mouldyanshah Mulyadi, 49, dengan niat menyebabkan mereka berasa cemas di dalam bilik rehat artis di Stadium Arena Larkin pada pukul 11 malam, Sabtu lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam bela, R. Amarpreet Singh. Yang turut hadir, peguam pemerhati bagi Radja Band dan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru, Mohd. Daud Ismail.

Amarpreet memohon wang jaminan dikurangkan berikutan tertuduh menanggung seorang isteri, ibu bapa yang uzur serta dua adiknya.

Selain itu, tertuduh yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM3,500 juga terpaksa menanggung kerugian hampir RM300,000 daripada penganjuran konsert Radja Band tersebut.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa serta saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 3 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan dua lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan kes ugutan bunuh terhadap Radja Band. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya