Pelakon lelaki tumbuk isteri ditahan polis - Utusan Malaysia

Pelakon lelaki tumbuk isteri ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis mengesahkan pelakon yang disyaki menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Pelakon berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengah hari ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pelakon itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama.

“Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan mangsa (isteri pelakon itu), dua saksi dan suspek.

“Polis kemungkinan akan memanggil semula mangsa untuk diambil keterangan lanjut hari ini,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, polis juga sudah mendapatkan laporan awal perubatan mangsa dan disahkan mangsa mengalami kecederaan di pipi.

“Kita akan mendapatkan perintah mahkamah sementara pada esok bertujuan menghalang suami daripada melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sementara siasatan dijalankan polis.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Pada Jumaat media melaporkan, isteri kepada pelakon itu membuat laporan polis mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata dalam kejadian Khamis lalu.

Mangsa berusia lingkungan 20-an itu membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur pada pukul 6.30 pagi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN