Op Tiris : 15,000 liter minyak diesel bersubsidi diseleweng dirampas - Utusan Malaysia

Op Tiris : 15,000 liter minyak diesel bersubsidi diseleweng dirampas

PEGAWAI operasi KPDN memeriksa sebuah lori tangki yang dipercayai menjalankan kegiatan menyeleweng minyak diesel bersubsidi dalam Op Tiris di Rantau di Seremban.-GAMBAR/KPDN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan telah merampas 15,000 liter minyak diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM32,250 yang dipercayai diseleweng dalam Op Tiris di sebuah premis di Rantau di sini semalam.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, pemeriksaan menyeluruh oleh pasukan operasi ke atas premis mendapati terdapat aktiviti pemindahan minyak diesel dijalankan di premis tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek yang ditemui di premis tersebut tidak mempunyai sebarang lesen, permit atau permit khas atau surat kebenaran dari Pengawal Bekalan bagi berurusan dengan barangan kawalan berjadual,” katanya dalam kenyataan di hari ini.

Jelas Muhammad Zahir, dalam operasi itu dua orang lelaki warga tempatan yang ditemui di lokasi kejadian telah ditahan bagi tujuan membantu siasatan. 

“Turut disita sebuah lori, sebuah lori tangki serta peralatan yang digunakan untuk aktiviti penyelewengan minyak diesel dengan keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM98,950,” katanya.

Beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka dan akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan serta menyimpan apa-apa barang kawalan di mana-mana premis selain dari premis yang dilesenkan atau premis yang dibenarkan oleh Pengawal Bekalan. 

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1.00 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM2 juta,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya