OIC: Malaysia akan perjuang krisis dihadapi umat Islam - Utusan Malaysia

OIC: Malaysia akan perjuang krisis dihadapi umat Islam

Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Hussein Brahim Taha di Mekah kelmarin. – AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim beriltizam untuk memainkan peranan sebagai anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang aktif dalam mendepani krisis-krisis dihadapi umat Islam di seluruh dunia.

Menurut Perdana Menteri, isu-isu tersebut dibincangkan ketika beliau menerima kunjungan delegasi OIC yang dike­tuai Setiausaha Agungnya, Hussein Brahim Taha di Mekah.

“Kami bicara pelbagai perkara antaranya isu negara Palestin, Afghanistan, Islamophobia, proses rundingan damai selatan Thailand dan Filipina serta beberapa permasalahan lain yang dihadapi umat Islam.

“Dalam pertemuan itu saya tegaskan Malaysia akan mencari jalan bersama OIC bagi menangani isu penindasan terhadap rakyat di Palestin.

“Malaysia juga akan memainkan peranan sebagai anggota OIC yang aktif dalam mendepani isu dihadapi umat Islam seluruh dunia,” kata Anwar di laman sosial beliau semalam.

Selain itu, Perdana Menteri Anwar turut membangkitkan isu Islamophobia dan menegaskan pendirian beliau sebagai anggota OIC untuk memastikan perkara tersebut difahamit seluruh penduduk dunia.

“Turkiye dan Malaysia akan bersama-sama ketengahkan isu Islamophobia supaya difahami masyarakat antarabangsa,” katanya.

Ketika ini Anwar sedang mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Arab Saudi selepas menerima undangan daripada kerajaan negara itu.

Beliau disambut Gabenor Jeddah, Putera Saud Abdullah Jalawi Al Saud dalam upacara sambutan rasmi.

Lawatan tersebut adalah yang pertama di luar negara-negara ASEAN sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November tahun lepas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN