Noor Atika tidak sempat pulang berbuka puasa bersama keluarga - Utusan Malaysia

Noor Atika tidak sempat pulang berbuka puasa bersama keluarga

KEADAAN kemalangan yang meragut nyawa Noor Atika Zainal (gambar kecil) dalam kejadian di Kilometer 15.1, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) arah Selatan dekat Nilai, Seremban petang semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hasrat seorang suri rumah untuk pulang berbuka puasa dan menikmati masakan asam pedas bersama keluarga mentuanya tidak kesampaian apabila meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 15.1, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) arah Selatan dekat Nilai, di sini petang semalam.

Noor Atika Zainal, 30, maut ditempat kejadian manakala suaminya Norshiman Mahir, 31, yang memandu kereta bersama empat anaknya mengalami kecederaan.

Bapa mentuanya, Mohamad Akhir Shuib, 58, berkata, Norshiman ada menghubunginya dan memaklumkan mereka sekeluarga ingin pulang ke kampung di Felda Temangau 4, Kemayan, Pahang untuk berbuka puasa.

“Bagaimanapun, lebih kurang pukul 4.30 petang saya dihubungi anak yang memaklumkan mereka sekeluarga terbabit kemalangan dan pada ketika itu saya tidak dimaklumkan menantu meninggal dunia.

“Norshiman menghubungi saya dalam keadaan menangis dan saya datang ke Seremban malam tadi dan barulah mengetahui perkara sebenar. 

“Saya dimaklumkan mereka dari Kajang, Selangor dan dalam perjalanan ke kampung pada petang semalam untuk berbuka puasa. Arwah juga ada memaklumkan ingin berbuka puasa dengan masakan asam pedas,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini hari ini. 

MOHAMAD Akhir Shuib menunjukkan gambar arwah menantunya, Noor Atika Zainal, 30 yang maut dalam kejadian kemalangan semalam ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban hari ini. UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.

Jelas Mohamad Akhir, anaknya itu dan empat orang cucunya mengalami kecederaan ringan namun seorang daripadanya yang berusia sembilan tahun baru selesai menjalani pembedahan manakala seorang lagi yang berusia tiga tahun ditempatkan di wad kerana mengalami patah kaki.

Sementara itu, bapa Noor Atika, 53, Zainal Ahmad memberitahu reda dengan kejadian meragut nyawa anak sulungnya itu.

“Noor Atika anak sulung daripada lima beradik, dia anak yang baik dan periang. Memang sedih kehilangannya namun reda atas apa yang terjadi,” katanya yang turut berasal dari kampung yang sama.

SUAMI mangsa, Norshiman Mahir turut dipapah ke Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk melihat jenazah Noor Atika.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kejadian berlaku lebih kurang pukul 4 petang melibatkan empat buah kenderaan iaitu kereta Toyota Wish dinaiki mangsa, sebuah Perodua Myvi dan dua buah lori.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta jenis Perodua Myvi dan kereta jenis Toyota Wish yang terlibat kemalangan lebih awal dan telah berhenti di lorong kecemasan. 

“Secara tiba-tiba lori jenis Hino yang diletakkan di lorong kecemasan iaitu lebih kurang jarak 100 meter di hadapan kereta Toyota Wish telah bergerak secara mengundur tanpa pemandu lalu melanggar kereta Toyota Wish sehingga menyebabkan kedua-dua kenderaan ini memasuki lorong paling kiri lebuh raya. 

“Pada masa yang sama telah datang lori jenis Volvo yang dipandu seorang lelaki umur 48 tahun di lorong kiri telah gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta Toyota Wish tersebut.  Akibat kemalangan, penumpang hadapan kereta Toyota Wish telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.