Muhyiddin perlu berhujah di mahkamah, bukan khalayak - Fahmi - Utusan Malaysia

Muhyiddin perlu berhujah di mahkamah, bukan khalayak – Fahmi

FAHMI FADZIL menandatangani plak semasa melakukan lawatan ke Pejabat Bernama Johor di Jalan Serampang, Taman Pelangi, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu berhujah tentang pendakwaan terhadap dirinya dalam kamar mahkamah, bukan di jalanan serta khalayak umum.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, itu merupakan tindakan yang sewajarnya diambil bekas Perdana Menteri itu.

Beliau turut menyifatkan bahawa pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu merupakan tindakan bebas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iru.

“SPRM dan juga pihak Peguam Negara telah menyatakan bahawa tindakan terhadap Presiden Bersatu itu bersifat ‘independent’, tidak ada arahan daripada sesiapa,  sebaliknya mereka cuma melihat kepada fakta dan membawa kes itu ke mahkamah.

“Jadi bagi saya Tan Sri Muhyiddin perlu berhujah di dalam mahkamah dan bukannya di khalayak ramai kerana jika beliau menuduh sesiapa ingin menggunakan kes ini untuk menyerang beliau, bagi saya itu adalah satu persepsi yang salah.

“Adakah itu bermakna pihak berkuasa seperti SPRM tidak boleh mengambil tindakan terhadap sesiapa pun sedangkan mereka ada hak di bawah Akta SPRM,” katanya diminta mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa pendakwaan terhadap beliau adalah pendakwaan terpilih dan bermotif politik.

Fahmi ditemui selepas melawat Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Johor di Taman Pelangi, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR meminta Muhyiddin perlu bersikat adil dalam soal tersebut kerana sebelum ini beliau tiada masalah dengan tindakan undang-undang terhadap parti politik lain.

“Sebelum ini Tan Sri Muhyiddin pernah memberi komen agar UMNO mengikut undang-undang ketika akaun parti itu dibekukan pihak berkuasa, tetapi apabila terkena pada Bersatu lain pula jadinya. Jadi, kita ikut undang-undang.

Dua hari lalu, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yasin, 76, didakwa di mahkamah menyalahgunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232,500,000 bagi parti tersebut.

Selain itu, beliau menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN