Mohon saja tauliah, selesai masalah – Ustaz Kazim

Mohon saja tauliah, selesai masalah – Ustaz Kazim

MOHD. Kazim Elias dalam sidang akhbar di Kompleks Darul Barakah, Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tauliah mengajar agama di masjid dan surau tidak sepatutnya menjadi polemik jika golongan penceramah dan pendakwah memohon tauliah daripada pihak berkuasa agama negeri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penceramah bebas ter­kenal, Datuk Mohd. Kazim Elias berkata, tauliah mengajar agama adalah hak pihak berkuasa agama negeri yang di bawah kuasa sultan, bermakna sesiapa pun terikat dengan syarat tersebut.

Beliau yang lebih dikenali Ustaz Kazim berkata, tauliah bertujuan agar penceramah patuh kepada peraturan sesebuah ne­geri semasa berceramah, bukan bermakna tidak dibenarkan berceramah langsung.

ISU

“Tauliah untuk golongan agama berceramah tidak sepatutnya menjadi isu. Untuk selesaikannya, mohon sahaja tauliah daripada pihak berkuasa agama.

“Jika tak mahu (mohon tau­liah) jangan mengajar (bercera­mah) atau terima jemputan di negeri-negeri yang mereka tiada tauliah. Ia seperti kalau kita tak ada lesen (memandu), janganlah memandu. Kalau memandu juga, sudah tentu kena saman, tapi jangan salahkan pihak polis.

“Ia sama juga dengan tauliah daripada pihak berkuasa agama negeri yang di bawah tuanku, jadi ikut sahaja, patuh dengan apa yang disyaratkan. Untuk selesaikan isu ini, mohon sahaja tauliah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd. Kazim mengakui tidak mengadakan ceramah di negeri-negeri yang beliau tiada tauliah.

Menurutnya, beliau hanya mempunyai tauliah daripada tiga negeri iaitu Perak, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.

Mohd. Kazim mendedahkan beliau sudah tiga tahun tidak menerima jemputan berceramah di sebuah negeri kerana tiada tauliah di ne­geri tersebut.

JEMPUTAN

“Memang prinsip saya tak terima jemputan dari negeri yang saya tak ada tauliah, saya hanya berceramah di negeri yang saya ada tauliah sahaja.

“Dulu boleh buat tauliah sementara iaitu penganjur sesuatu program memohon tauliah sementara untuk program itu sahaja, tapi sekarang tiada lagi tauliah sementara, sekarang tauliah penuh,” katanya.

Mohd. Kazim berkata, ada juga tauliah penceramah yang ditarik balik kerana ada kaitan dengan parti politik atau menjadikan masjid sebagai medan berpolitik.

“Mereka mencampuri atau terlibat politik, sedangkan dasar majlis agama melarang masjid dijadikan medan untuk berpolitik,” katanya.

Isu tauliah mengajar kembali hangat selepas pembatalan kuliah maghrib penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam, Se­langor, Februari lalu kerana tidak mempunyai tauliah mengajar agama di negeri itu.

Selain itu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu juga memberi peringatan pemimpin dan aktivis politik di negeri itu tidak dibenarkan menggunakan masjid serta surau bagi menyampaikan ceramah atau mengadakan aktiviti berunsur politik kepartian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN