MERSING: Mayat wanita yang dihanyutkan arus banjir bersama kenderaannya di Kilometer 28, Jalan Nitar-Kahang, Mersing berjaya ditemukan kira-kira 15 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Mohd. Alias Hussin berkata, kereta dipandu mangsa yang dikenali sebagai Tansharon, 23, berjaya ditemukan oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada pukul 6.55 petang semalam.
“Kereta mangsa berjaya dibawa keluar dengan menggunakan peralatan ‘Vehicle Rockery System’ (VRS). Mayat mangsa berjaya ditemukan di dalam kereta pada pukul 10.19 malam setelah kenderaan itu dapat dinaikkan.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Terdahulu, seorang wanita dilaporkan hilang selepas kereta dipandunya dihanyutkan arus banjir di Kilometer 28, Jalan Nitar-Kahang, semalam.
Pihak bomba menerima laporan kejadian itu pada pukul 6.49 pagi menyatakan terdapat mangsa yang terperangkap di dalam sebuah kereta Perodua Myvi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani mengesahkan penemuan mayat wanita berkenaan dipercayai merupakan pemandu Perodua Myvi yang dilaporkan hilang.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula pada pukul 11 pagi, telah ditamatkan pada 10.30 malam. Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk proses bedah siasat dan pengecaman oleh ahli keluarga. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN