Malaysia tidak alami kegawatan ekonomi tahun ini - Utusan Malaysia

Malaysia tidak alami kegawatan ekonomi tahun ini

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangka negara tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada tahun ini. 

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jangkaan itu berdasarkan takrifan kegawatan atau kemelesetan ekonomi secara teknikal apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi iaitu pertumbuhan negatif suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut. 

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia turut mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia 2023 pada kadar 4.4 peratus dan 4 peratus. Jangkaan ini adalah selari dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global yang diunjur dengan lebih perlahan pada tahun ini.

“Meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia, Insya-Allah tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada 2023.

“Bagaimanapun, kerajaan akan terus mengutamakan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan yang saksama untuk rakyat dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik. 

“Selain itu, kerajaan juga akan memudah cara proses pelaburan, mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berinovasi tinggi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta kerajaan menyatakan pelan dalam menghadapi kegawatan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun ini. 

SUBSIDI

Dalam pada itu, kata Ahmad, kerajaan  memperuntukkan sehingga RM64 bilion dalam bentuk subsidi bantuan serta insentif seperti sumbangan tunai rahmah membabitkan kos hampir RM8 bilion yang dijangka memanfaatkan sembilan juta rakyat dengan nilai maksimum bantuan sehingga RM3,100 di bawah agenda ‘payung Rahmah’.

“Kerajaan membantu mengurangkan beban sara hidup melalui program Menu Rahmah serta jualan rahmah yang ditawarkan harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.

Menjawab soalan jika Kadar Dasar Semalam (OPR) akan meningkat lagi, kata Ahmad, semua pihak perlu menunggu kerana kadar 2.75 OPR ketika ini telah berjaya mengekang inflasi.

“Persoalan apakah OPR ini akan dinaikkan masa akan datang, kita tunggu, yang penting dengan kadar 1.72 kepada 2.75 itu telah berjaya mengekang kadar inflasi dan dijangka inflasi tahun ini adalah 3.3  peratus lebih rendah berbanding sebelum ini,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, katanya, jumlah kes muflis dalam kalangan individu di negara ini menurun sejak 2016 daripada 19,588 kepada 5,695 kes pada tahun lalu.

Katanya, trend penurunan itu meliputi kes muflis dalam kalangan belia berusia bawah 35 tahun yang mencatat 13.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes pada tahun lalu, berbanding 22.5 peratus dari 2017 hingga 2021.

“Terdapat pelbagai prosedur yang perlu dipatuhi institusi kewangan bagi mengisytiharkan seseorang itu muflis, dan tindakan kebankrapan adalah jalan terakhir.

“Akta Insolvensi akan dipinda tetapi sebelum pindaan, Menteri Kewangan (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah mengumumkan semua kes kecil yang (hutang) kurang daripada RM50,000 akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac 2023 dan ramai akan terbabit,” katanya. 

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai langkah Kementerian Kewangan untuk membantu mereka yang akan diisytihar bankrap pasca pandemik Covid-19 kerana terdapat agensi pemberi pinjaman yang tidak boleh berurusan dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.