Majlis kahwin terpaksa ditangguhkan - Utusan Malaysia

Majlis kahwin terpaksa ditangguhkan

TUMIRAH DAMIRI (kiri) bersama anak dan cucunya memeriksa cenderamata yang siap dibungkus untuk diberikan kepada tetamu pada majlis perkahwinan yang telah dirancang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Hasrat seorang ibu  untuk mengadakan majlis perkahwinan anak bongsu serentak pada hari kelahirannya tidak kesampaian apabila acara itu terpaksa ditangguhkan semalam ekoran banjir ketika ini.

Tumirah Damiri, 61, berkata, majlis yang telah dirancang sejak beberapa bulan lalu tidak dapat dianjurkan ekoran keadaan yang tidak sesuai.

“Meskipun kediaman saya tidak dilanda banjir, namun jiran tetangga ramai yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) gara-gara rumah mereka dinaiki air.

“Kami sekeluarga berasa tidak sesuai sekiranya majlis diteruskan kerana memikirkan perasaan penduduk kampung yang pastinya sedih dengan ujian menimpa selain kepayahan tetamu lain untuk hadir dalam situasi cuaca buruk ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Redan, Pagoh, di sini.

Menurutnya, keputusan untuk menunda hari bersejarah meraikan raja sehari itu bukan mudah kerana bencana menimpa hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum berlangsungnya majlis itu.

“Ikutkan memang saya nak sambut dengan meriah memandangkan ini majlis perkahwinan terakhir anak saya, dah sepakat nak pilih tarikh 4 Mac sebab masa itu ulang tahun kelahiran saya. Jadi, dah rancang ketika meraikan mempelai, saya juga turut diraikan pada hari itu.

“Walau bagaimanapun, selepas melihat banjir mulai menimpa kampung sekitar sejak Rabu lalu, maka pada hari Khamis baru-baru ini saya bincang dengan suami, Abd. Rahman Sagimin, 67, serta anak-anak tentang keputusan untuk membatal atau menunda terlebih dahulu majlis perkahwinan ini.

“Pada mulanya memang mereka semua terkejut selain memikirkan kesukaran dan kerugian jika menangguhkan majlis ini, tetapi pada masa sama anak-anak fikir juga sekiranya diteruskan tetapi kehadiran tetamu sangat sedikit juga akan memberikan kerugian,” katanya.

Justeru, ibu kepada enam cahaya mata ini nekad meneruskan keputusan berkenaan dan segera menghubungi pihak katering bagi bertanyakan pendapat memandangkan bayaran berjumlah RM11,500 telah dikeluarkan.

“Alhamdulillah, mereka faham dan menyokong keputusan kami. Bila pihak katering bersetuju, maka saya rasa mudah untuk mengatur perkara lain seperti memohon ihsan daripada butik pengantin serta kilang yang memproses makanan untuk dijadikan cenderamata tetamu.

“Cuma cabaran agak sukar adalah menghebahkan hal ini kepada tetamu kerana kad jemputan kahwin telah diedarkan sejak dua minggu lepas. Saya terpaksa hubungi semula semua tetamu selain memaklumkan perkara ini di semua platform, itupun ada juga yang tidak dapat maklumat dan datang pada hari majlis,” katanya.

Tumirah mengakui sedikit terkilan tidak dapat mengadakan majlis itu pada hari kelahirannya, namun reda dan percaya ada hikmahnya.

“Mungkin tiada rezeki untuk cipta kenangan pada hari ulang tahun saya, tetapi yang lebih penting adalah keselamatan orang ramai serta kehadiran tetamu kerana doa mereka lebih berharga. Jadi, apalah salahnya kami tunda ke masa yang lebih baik kerana dapat juga bersedekah juadah ini kepada tetamu yang datang membawa berkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya