Lulus, segerakan projek RTB - Anwar - Utusan Malaysia

Lulus, segerakan projek RTB – Anwar

ANWAR IBRAHIM menyantuni mangsa banjir ketika melawat PPS SJKC Kampung Tengah, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya semua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM600 juta ke atas diluluskan dan segera dilaksanakan mulai Jun ini.

Perdana Menteri menegaskan, keputusan kerajaan menyegerakan projek tersebut bagi mengelakkan bencana banjir berulang, sekali gus terus menjejaskan kehidupan rakyat dan memusnahkan harta benda.

“Isu banjir ini kalau kita tidak lakukan apa-apa yang serius, ia akan berulang. Banjir ini bukan kali pertama, bertahun-tahun dan di sini sudah dua kali banjir besar.

“Oleh itu, kita putuskan projek mahal RM600 juta atau lebih untuk RTB akan disegerakan. Itu kita lulus dan akan segerakan.

“Tempoh hari saya tangguh sebentar (projek RTB) kerana kita tidak mahu peruntukan untuk bantu rakyat ada ketirisan, ada kecurian.

“Kita perlu proses tender walau disegerakan. Semua projek RTB yang diluluskan harus semuanya beroperasi mulai Jun ini. Jadi tak boleh dilengahkan lagi,” katanya dalam sidang akhbar di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina  Kampung Tengah, di sini, hari ini

Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gemereh.

Pada 5 Disember lalu, beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion dilaporkan tidak diteruskan kerana  membabitkan kelulusan secara rundingan terus sebelum ini.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi amaran supaya tiada pihak mencari dan mengambil peluang mendapatkan habuan tambahan membabitkan apa jua peruntukan kerajaan terutamanya untuk banjir.

“Saya mahu beri amaran keras jangan guna peruntukan semasa banjir atau darurat atau apa jua masalah dihadapi rakyat. Jngan guna itu bagi mencari peluang untuk habuan tambahan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Menteri Besar ada memaklumkan beberapa projek baharu berkaitan tebatan banjir yang diperlukan di Johor.

“Saya maklumkan oleh kerana kerajaan boleh jimatkan beberapa kos antara RM1 hingga RM2 bilion daripada projek lama, wang itu boleh dipindahkan untuk memulakan projek baharu.

“Projek baharu itu setakat ini membabitkan Segamat, Kota Tinggi dan kawasan kritikal dilanda banjir lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya