[DUN] Lima insentif ringan bebanan mangsa banjir - Utusan Malaysia

[DUN] Lima insentif ringan bebanan mangsa banjir

ONN HAFIZ GHAZI menghadiri sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri mengumumkan lima insentif bagi meringankan beban mangsa yang terjejas akibat banjir sejak awal bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, atas dasar prihatin terhadap nasib mangsa bah berkenaan,  Bantuan Barangan Keperluan Asas (BBKA) bernilai RM2,500 diberikan bagi setiap ketua isi rumah ini melibatkan peruntukan berjumlah RM60.3 juta yang akan disalurkan secara berperingkat-peringkat mulai awal April ini.

“Kerajaan negeri sedar dan faham ada mangsa-mangsa banjir yang tidak sempat menyelamatkan dokumen-dokumen penting kerana paras air naik begitu mendadak. 

“Oleh sebab itu, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi pengecualian bayaran RM250 bagi penggantian geran yang hilang atau hancur semasa banjir melanda,” katanya dalam sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.

Hujan selama dua hari  iaitu pada 28 Februari dan 1 Mac lalu dilaporkan telah melebihi rekod jumlah hujan untuk tempoh sebulan, sekali gus menyebabkan bencana besar, antara yang terburuk pernah dialami Johor sejak 1986 dan 2006.

Banjir besar kali ini dilaporkan merekodkan seramai 74,453 mangsa daripada 26,376 keluarga di semua 10 daerah dan membabitkan 379 pusat pemindahan sementara (PPS).

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut melahirkan kesyukuran selepas Johor pulih sepenuhnya daripada banjir setelah semua PPS ditutup dan kerja pasca banjir dan bantuan lain perlu diuruskan segera.

Mengenai bantuan itu, beliau berkata, kerajaan negeri telah berbincang dengan pihak Ranhill SAJ bagi memberi kelonggaran kepada mangsa banjir bagi menjelaskan bil air dan pihak Ranhill SAJ telah bersetuju untuk memberikan diskaun sehingga 40 peratus kepada mangsa yang terjejas bagi bulan Mac dan April ini.

“Bagi bayaran Bantuan Wang Ihsan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berjumlah RM1,300 untuk setiap ketua isi rumah pula akan melibatkan peruntukan berjumlah RM34.2 juta

“Pembayaran Bantuan Wang Ihsan itu akan selesai pada bulan ini kecuali bagi daerah Batu Pahat dan Segamat yang dijangka selesai pada awal April kerana bilangan penerimanya jauh lebih ramai berbanding daerah-daerah lain,” katanya.

Mangsa banjir juga diberikan moratorium pinjaman sehingga enam bulan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Mac lalu yang melibatkan hampir semua bank. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya