Lelaki pukul imam positif dadah - Utusan Malaysia

Lelaki pukul imam positif dadah

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Lelaki yang tular dalam sebuah video kerana bertindak memukul seorang imam jemputan di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini pada Ahad lalu bukan sahaja mempunyai masalah kesihatan mental, malah juga merupakan seorang penagih dadah.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, hasil saringan ujian air kencing mendapati lelaki tersebut positif dadah.

Beliau berkata, kesan pengambilan dadah, suspek dipercayai berhalusinasi mendengar imam yang memimpin solat Subuh ketika itu memanggil namanya sekali gus menjurus kepada tindakan terbabit.

“Hasil siasatan mendapati suspek merupakan seorang bekas tentara, mempunyai rekod jenayah dan mengalami masalah mental.

“Suspek kini ditahan atas kesalahan penggunaan dadah dan kesalahan kacau ganggu di bawah Seksyen 296 Kanun Keseksaan.

“Suspek sudah dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan psikiatri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Ramli berkata, lelaki tersebut merupakan gelandangan yang menjadikan masjid dan Mahkota Square di bandar ini sebagai tempat tidur dan merayau.

Sebelum ini, tular rakaman video menunjukkan kejadian seorang lelaki kurang siuman bertindak mahu memukul imam jemputan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini sekitar pukul 6.18 pagi Ahad lalu.

Video berdurasi 30 saat itu memaparkan seorang lelaki berpakaian baju Melayu dan kain pelikat datang dari arah belakang bertindak menolak jemaah sebelum memukul imam jemputan terbabit dengan selipar berwarna putih.

Pihak Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dalam kenyataannya meminta orang ramai menghentikan penularan video terbabit dan tidak akan bertanggungjawab jika berdepan tindakan undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya